Tutup

Lelaki maut, kereta terjunam ke dalam sungai

Lelaki maut, kereta terjunam ke dalam sungai
Selepas lebih dua jam mencari, pihak bomba berjaya menemui kereta mangsa tenggelam pada kedalaman lebih 3 meter. - Foto Astro AWANI
ALOR SETAR: Seorang lelaki maut apabila kenderaan yang dipandunya terjunam ke dalam Sungai Santap dekat Pokok Sena, di sini malam tadi.



Penolong Kanan Penguasa Bomba Jabatan Bomba dan Penyelamat Jitra, Sallehuddin Darawi, memaklumkan bomba menerima panggilan pada jam 11.08 malam dan tiba bersama 19 anggota.


Sebaik tiba di lokasi pada jam 11.53 malam, pihak bomba terus melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dan mendapati sebuah kereta jenis Proton Wira telah tenggelam ke dalam sungai dimana pemandunya terperangkap di dalam kereta.


Katanya, pihak bomba terpaksa mencari lokasi kereta yang terjatuh itu dengan bantuan lima penyelam daripada Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Jitra.


Selepas lebih dua jam mencari, pihak bomba berjaya menemui kereta mangsa tenggelam pada kedalaman lebih 3 meter.


Kemudiannya kereta itu dapat ditarik keluar dengan menggunakan bantuan sebuah kren penarik.


Sebaik kereta itu dinaikkan ke darat pihak bomba menemui mayat mangsa di bahagian tempat duduk pemandu.


“Pada 2.46 pagi kami angkat mangsa masuk dalam dalam Land Rover, identiti mangsa adalah seorang lelaki Melayu berusia lingkungan 30an. Hanya seorang mangsa sahaja,” katanya ketika ditemui di lokasi.


Operasi selesai sekitar jam 3 pagi sebaik pihak bomba memastikan tiada lagi mangsa lain yang terlibat.



Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, untuk bedah siasat.



Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Mohd Rozi Jidin mengesahkan kejadian.