Seorang penyelam maut ketika melakukan aktiviti menyelam di perairan Pulau Tenggol, Dungun.

Mayat Tan Gue Kwang, 54 tahun, yang berasal dari Kuala Lumpur, dijumpai kira-kira jam 1.20 petang pada Rabu.

Mangsa yang masih lengkap memakai peralatan menyelam termasuk kamera bawah air ditemui dalam jarak lebih kurang 50 meter dari lokasi mangsa didapati hilang.

Mangsa dikatakan berkunjung ke pulau itu sejak tiga hari lalu bersama dua lagi anggota keluarganya yang lain dan menyertai aktiviti menyelam bersama tiga lagi pengunjung sekitar jam 9.45 pagi.

Menurut jurulatih menyelam, Muhammad Aqif Ibrahim, ketika kejadian dia dan tiga lagi penyelam sedang melakukan pemeriksaan rutin di dalam laut sebelum mangsa secara tiba-tiba naik ke permukaan.

“Tiba-tiba saya nampak dia naik ke atas, di permukaan laut, dia tidak habiskan safety stop dia. Dia naik dulu, saya periksa yang lagi tiga (penyelam lain) untuk lakukan safety stop. Selepas 3 minit, saya pun naik.

"Apabila sampai (di permukaan) saya tanya pada pengendali bot, dia (mangsa) tidak kelihatan," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk proses bedah siasat untuk mengenal pasti punca sebenar kematian.