Seorang tukang masak meninggal dunia di balai pelepasan Lapangan Terbang Miri di sini semasa sedang menunggu penerbangannya ke Singapura, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah berkata Niek Pick Huat, 38, dari Desa Murni, Bandar Baru Permyjaya, di sini, pada mulanya dijumpai oleh seorang pegawai imigresen dalam keadaan pucat dan tidak sedarkan diri di atas kerusi urut itu pada pukul 12 tengah hari ini.

"Dia disahkan meninggal dunia pukul 1.05 petang ini," katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini sambil menyatakan sebelum disahkan maut, pihak pasukan perubatan dari Lapangan Terbang Miri serta ambulan dari Hospital Miri telah memberi bantuan pernafasan (CPR) kepada lelaki itu.

Menurutnya berdasarkan kenyataan saksi sebelum kejadian, lelaki yang bekerja sebagai tukang masak di Singapura itu dilihat duduk di kerusi urut di Tingkat Satu di balai pelepasan itu selama kira-kira sejam.

"Lelaki itu mempunyai penyakit darah tinggi berdasarkan maklumat yang diberi oleh abangnya," kata Lim dan menambah kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

-- BERNAMA