Seorang lelaki maut selepas kereta jenis Honda City yang dipandunya merempuh sebuah bas ekpres di Jalan Pekan-Rompin dekat Kampung Arung, di sini, petang tadi.

Bagaimanapun identiti mangsa berusia lingkungan 40 tahun itu masih belum dikenalpasti.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang berkata, pihaknya mendapat panggilan kecemasan kejadian berkenaan kira-kira jam 3 petang tadi sebelum sebuah jentera bergegas ke tempat kejadian.

"Sampai di tempat kejadian kita dapati mangsa tersepit di tempat duduk pemandu. Anggota bomba terpaksa mengambil masa hampir setengah jam untuk mengeluarkan mayat mangsa," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat

Katanya lagi, seorang lagi penumpang wanita berusia lingkungan 40 tahun mengalami cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Pekan untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Ketika kejaduan, tiada penumpang di dalam bas ekspres itu manakala pemandunya tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Katanya lagi, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke Hospital Pekan untuk proses bedah siasat.

Anggota Bomba dan Penyelamat mengeluarkan mangsa kemalangan maut yang melibatkan sebuah bas ekpress dan Honda City di di Jalan Pekan-Rompin dekat Kampung Arung, di sini, petang tadi.