Seorang lelaki maut di tempat kejadian selepas kereta yang dipandunya merempuh sebuah lori sebelum terbakar dalam satu kejadian yang berlaku di Kawasan Perindustrian Perai kira-kira 11.30 Rabu malam.

Mangsa Yong Peng Foo, 53, maut selepas terperangkap dalam kereta Honda City yang dipandunya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Perai , Timbalan Penguasa Bomba, A'azelan Hassan berkata, bomba tiba di lokasi kira kira jam 11.35 malam.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati kereta berkenaan tersepit di belakang lori dan api sedang marak menyebabkan 70 peratus bahagian depan kereta itu terbakar .

Bomba mengambil masa kira-kira 30 minit mengawal dan memadam kebakaran.

Mayat di hantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.