Lelaki maut selepas tertembak diri sendiri ketika sedang mencuci senapang patah miliknya di Kampung Perlis Simpor, Tikam Batu, 5.50 petang semalam.

Mangsa yang juga peniaga berusia 59 tahun dipercayai tertembak diri sendiri di bawah dagu sebelah kiri dengan senapang jenis Benelli di beranda rumahnya.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, ketika kejadian hanya mangsa dan isterinya berada di rumah terbabit.

"Sebelum kejadian, mangsa dilihat membawa keluar senjata berkenaan bersama peralatan mencuci di bahagian beranda rumah. Lima minit kemudian, isterinya terdengar bunyi tembakan dan meluru keluar rumah untuk melihat apa berlaku.

Apabila diperiksa mendapati mangsa yang juga pemegang lesen senjata api sejak 1994 yang digunakan untuk mencegah musuh tanaman, telah meninggal dunia," katanya.

Menurutnya, semasa kejadian, hanya isteri mangsa berada di rumah dan tiada ahli keluarga lain.

"Jenis senjata api yang digunakan Benneli semi auto short gun satu laras. Dalam kejadian ini, pihak polis telah menerima panggilan daripada orang awam yang mengatakan seorang lelaki telah tertembak diri sendiri semasa mencuci senapang patah miliknya," katanya.

Menurut Adzli, mangsa juga adalah salah seorang pemegang lesen yang baharu diperbaharui olehnya pada 25 Jun lalu, ditemukan dalam tidak bermaya memeluk senjata di celah kangkang dan barrel senjata ke arah dagu di mana mangsa telah tersembam dan mukanya jatuh ke arah lantai.

"Berdasarkan kedudukan mayat dan kecederaan, dipercayai mangsa sedang mencuci senjata dalam keadaan duduk di kerusi plastik dan kemudian tertembak di bawah dagu sebelah kiri.

"Pihak Hospital Sultan Abdul Halim telah sampai dan pegawai perubatan pada jam 6.35 petang mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

"Siasatan forensik di tempat kejadian mendapati senjatapi digunakan adalah jenis Benneli terdapat tiga kelongsong peluru, di luar senjata terdapat dua kelongsong, satu hidup dan satu kosong manakala dalam chamber terdapat satu kelongsong hidup.

"Kesan tembakan bermula di bahagian sisi dagu kiri, tidak tembus," katanya.

Mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk dibedah siasat.