Polis terpaksa melepaskan empat das tembakan terhadap seorang lelaki yang bertindak agresif dan cuba menyerang pihak polis.

Dua das tembakan dikatakan mengenai bahagian perut suspek.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Shamsul Amar dalam satu kenyataannya berkata, suspek dikatakan berang akibat tidak mampu mengeluarkan wangnya di mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

Kejadian berlaku di sebuah bank di Bukit Tinggi, Klang sekitar jam 2 petang Selasa.

Bagaimanapun, polis difahamkan wang suspek belum masuk ke dalam akaunnya.

Suspek turut dikatakan cuba bertindak memecahkan mesin ATM berkenaan sebanyak dua kali sebelum pecah pada kali kedua.

Suspek juga disyaki berada dalam pengaruh dadah.

Polis turut menemui sebilah pisau lipat serta sepaket serbuk putih disyaki dadah. Suspek telah dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, di sini untuk rawatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.