announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Lelaki nyaris maut terkena renjatan elektrik ketika selamatkan diri dalam kebakaran

Lelaki nyaris maut terkena renjatan elektrik ketika selamatkan diri dalam kebakaran
Mangsa berjaya diselamatkan dengan bantuan jiran sebelum anggota bomba tiba memadamkan kebakaran. -JBPM
JITRA: Seorang lelaki cedera terkena renjatan elektrik ketika berlari keluar dari rumahnya yang terbakar di Jalan Kampung Gandai, dekat Jitra, malam tadi.

Bagaimanapun mangsa berusia 48 tahun itu berjaya diselamatkan dengan bantuan jiran sebelum anggota bomba tiba untuk memadam kebakaran.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra dikerah sebaik menerima panggilan jam 10.19 malam dan tiba di lokasi tidak lama kemudian.

Operasi disertai 11 anggota dan tiga jentera dari BBP Jitra untuk membantu memadam kebakaran.

Selain itu, katanya, operasi turut dibantu tujuh Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Air Hitam, Padang Sera, Tunjang, Lana Bulu, Kuala Kedah, Seberang Nyonya dan Jalan Kundur.

Mohamadul Ehsan berkata setibanya di lokasi, didapati sebuah rumah kelas B separa batu dan kayu sedang terbakar.

Beliau berkata terdapat seorang mangsa didapati mengalami kecederaan akibat terkena renjatan elektrik di lokasi kejadian.

Mangsa kemudiannya di hantar ke Hospital Jitra untuk mendapatkan rawatan.

Tambah Mohamadul Ehsan, kebakaran berjaya dipadamkan PBS Air Hitam yang tiba lebih awal di tempat kejadian.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, rumah dua tingkat berkenaan terbakar 70 peratus.

Beliau berkata setakat ini punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.