Lelaki parah, patah tulang muka, alami pendarahan otak, dipercayai akibat dipukul

Lelaki parah, patah tulang muka, alami pendarahan otak, dipercayai akibat dipukul
Polis masih belum mengambil keterangan daripada mangsa berikutan keadaannya yang masih tidak sedarkan diri di Hospital Pulau Pinang. Foto ihsan PDRM
GEORGE TOWN: Seorang lelaki koma selepas dipukul dalam satu kejadian samun di kawasan tempat letak kereta bersebelahan sebuah kondominium di Gat Lebuh Sandilands, di sini, pada Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, peniaga berusia 33 tahun tersebut cedera parah apabila patah tulang muka dan berlaku pendarahan pada otak, dipercayai dipukul sekumpulan lelaki.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Che Zaimani Che Awang berkata, mangsa ditemui dalam keadaan terbaring di tempat kejadian oleh orang awam.

"Hasil siasatan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) kemudiannya mendapati tiga lelaki yang menunggang dua motosikal dilihat berada di tempat kejadian.

"Salah seorang daripada mereka telah memukul mangsa mengguna objek disyaki kayu dan telah menyamun mangsa," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Foto ihsan PDRM

Che Zaimani berkata, antara barangan mangsa yang dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya yang melakukan pengecaman adalah dompet dan telefon bimbit jenis iPhone X.

"Setakat ini, polis masih belum mengambil keterangan daripada mangsa berikutan keadaan mangsa yang masih tidak sedarkan diri di Hospital Pulau Pinang," katanya. 


Foto ihsan PDRM

Sementara itu, Che Zaimani berkata, dua daripada suspek telah berjaya ditahan kira-kira jam 12.15 tengah malam pada Ahad lalu di hadapan sebuah bengkel motosikal di Jalan Air Itam.

Pemeriksaan mendapati suspek berusia 23 dan 25 tahun yang mempunyai rekod lampau berkaitan dadah itu turut didapati positif dadah jenis methamphetamine.

"Siasatan awal mendapati, mereka mengaku terlibat dalam kejadian itu bersama seorang lagi yang masih bebas," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. 

Foto ihsan PDRM