Golongan lelaki perlu tahu dan sedar tanggungjawab masing-masing dalam usaha mengelak peningkatan statistik kes rogol akhir-akhir ini.

Moderator Forum 'Pemangsa Serakah vs Mangsa Menyerah', Dira Abu Zahar berkata, golongan lelaki memainkan peranan penting bagi menghentikan keganasan ataupun jenayah itu.

Ujarnya, lelaki seharusnya menjadi insan yang memastikan keharmonian hidup semua lapisan masyarakat termasuk menjadi pelindung kepada pasangan dan anak-anak perempuan.

"Ia sekali gus usaha meningkatkan kefahaman orang ramai dengan konsep masalah sebenar isu berkenaan dalam kalangan masyarakat.

"Kalau kebiasaannya kita cerita fasal masalah, forum ini adalah pentas untuk setiap individu mengetahui hak masing-masing dalam mempertahankan ahli keluarga dan anggota masyarakat.

"Ia isu yang perlu diambil berat oleh golongan bapa atau abang untuk tahu di mana saluran aduan selain persiapan mereka jika berhadapan kes sebegini," katanya ketika dihubungi di sini, pada Selasa.



Forum anjuran badan bukan kerajaan (NGO) O2 Malaysia yang akan diadakan pada Rabu di O2 Malaysia, Plaza Flamingo, Ampang bakal membincangkan isu rogol yang menjadi kebimbangan dalam masyarakat.

Selain Dira sebagai moderator, panel lain adalah 'influencer' media sosial, Caprice, Pensyarah Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal dan Presiden The International Women's Alliance for Family Institution and Quality Education (WAFIQ), Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar.

Jelasnya yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO itu, isu yang akan dikupas adalah penyebab dan pemangkin bagi kes-kes rogol yang berlaku, siapa yang bertanggungjawab dan tindakan yang boleh dilakukan bagi membendung isu berkenaan.

Untuk rekod, sepanjang tempoh Januari hingga Oktober 2018, sebanyak 480 kes rogol dalam kalangan remaja termasuk pelajar.dilaporkan dan jumlah itu meningkat kepada 491 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Daripada jumlah itu, 168 kes pada 2018 membabitkan pelajar dan statistik menunjukkan peningkatan kepada 194 kes sehingga Oktober lalu.