Seorang lelaki rentung selepas kereta dipandunya terbabit kemalangan di Jalan PJU 1A/1 menghala ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTAAS) Subang, pada Ahad.

Kejadian pada pukul 4.50 pagi itu menyebabkan mangsa dan kereta jenis BMW dipandunya hangus terbakar sekali gus menyukarkan proses pengecaman identiti mangsa.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata hasil siasatan awal mendapati kereta mangsa terbabas di tepi Jalan PJU 1A/A dan melanggar sebatang pokok lalu terbakar.

"Kebakaran hanya dapat dipadamkan pihak bomba selepas 15 minit, namun kereta dan pemandu hangus terbakar 100 peratus dan gagal dikenal pasti.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan waris mangsa, mayat dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat," kata Mohd Zani.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Nazreen Nasharuddin di talian 010-2105101.