Mulanya menyamar sebagai pemandu pelancong sebelum menggunakan alat renjatan elektrik untuk menyamun.

Itu taktik yang digunakan seorang lelaki ketika menyamun seorang pelajar kolej di sebuah lokasi di Bukit Mertajam awal bulan ini.

Bagaimanapun suspek lelaki terbabit berjaya diberkas polis jam 4.30 pagi tadi di sebuah rumah di Kampung Sungai Limau, Kulim selepas mangsa membuat laporan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, kejadian dilaporkan berlaku ketika mangsa berada di kawasan bukit di belakang lokasi samun berkenaan.

Dalam kejadian jam 1 pagi itu, mangsa bersama dua orang rakannya pergi ke bangunan berkenaan kerana ada urusan, bagaimanapun secara tiba- tiba mereka disapa oleh suspek yang kononnya mahu menunjukkan arah jalan.

Foto Astro AWANI

Suspek kemudiannya mengekori mangsa dan bertindak menyembur cecair pada mata mangsa dan memegang leher salah seorang dari mereka sebelum cuba meletakkan alat renjatan elektrik pada lehernya.

Nik Ros Azhan berkata, salah seorang mangsa kemudian telah memukul suspek dengan payung manakala rakannya melarikan diri namun terjatuh menyebabkan suspek sempat melarikan barang milik mangsa antaranya telefon bimbit dan wang tunai RM500.

Mangsa kemudian membuat laporan polis dan kerugian hampir RM2,500.

Foto Astro AWANI

Polis turut merampas alat renjatan elektrik dan beberapa peralatan lain, termasuk motosikal jenis Yamaha Ego, alat walkie-talkie, topi keledar dan beg galas yang digunakan mangsa untuk melakukan samun.

Hasil siasatan, suspek yang mempunyai tujuh rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan jenayah mengaku melalukan samun menggunakan alat renjatan elektrik berkenaan.

Suspek direman tujuh hari untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan.