Seorang lelaki warganegara Syria tinggal di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selama lebih sebulan selepas ditinggalkan terkandas oleh syarikat penerbangan dan pegawai imigresen.

Hassan al-Kontar, 36 tahun, bimbang ditahan di negaranya kerana enggan menyertai perkhidmatan tentera dan terpaksa menjadikan kawasan transit di KLIA sebagai rumah barunya selama 37 hari.

Menurutnya, dia terpaksa tidur di bawah tangga dan mandi di tandas KLIA.

"Saya tidak tahu apa yang perlu saya lakukan. Saya memerlukan penyelesaian. Saya memerlukan satu negara yang selamat yang akan menerima saya mengikut undang-undang, dan satu pekerjaan.

"Saya sesekali tidak akan pulang ke Syria, biarpun saya terpaksa tinggal di sini selamanya. Saya tidak mahu menyertai peperangan. Saya tidak mahu membunuh sesiapa. Saya juga tidak mahu terbunuh. Ini bukan pertempuran saya," katanya.

Menceritakan keadaannya kepada akhbar Guardian, Hassan berkata, dia tidak boleh membasuh pakaiannya dengan sempurna dan terpaksa menumpang mandi di tandas orang kurang upaya (OKU).

"Saya gunakan tandas OKU selepas jam 12 tengah malam, kerana pada masa itu tidak ramai orang."

Masalahnya bermula pada Februari apabila dia tidak dibenarkan menaiki pesawat Turkish Airlines dari Kuala Lumpur ke Ecuador pada saat-saat terakhir.

Selepas itu, dia tidak dibenarkan memasuki Kemboja dan Malaysia.

Terdahulu, pada Januari 2017, Hassan ke Malaysia selepas diusir keluar dari Emiriah Arab Bersatu, di mana dia bekerja di industri tenaga dan pemasaran sehingga 2011.

Dia mula menghadapi masalah apabila perang sivil Syria mengakibatkan dia hilang permit kerja dan dihantar ke pusat pengusiran.

Enggan menyertai perkhidmatan tentera Syria, Kontar mengambil keputusan untuk tinggal di kawasan transit KLIA sehingga mendapat bantuan.

Hassan yang terkandas dengan hanya sedikit wang di poket, kini hanya makan makanan bungkus nasi dan ayam yang sama, dibekalkan syarikat penerbangan setiap hari.

Adakalanya, dia membeli makanan segera di McDonald’s atau minum kopi yang dikirim melalui pekerja yang mencuci lapangan terbang.

Hassan turut memuat naik videonya di laman sosial bertujuan mendapat bantuan daripada pihak-pihak tertentu.