Rakaman video seorang lelaki menampar muka seorang pekerja warga asing di sebuah kedai mencuci kereta tersebar di media sosial hari ini.

Video berdurasi 2.30 minit itu dirakamkan menerusi kamera litar tertutup di kedai tersebut yang kemudiannya disebarkan oleh pekerja di kedai tersebut.

Dalam rakaman CCTV itu, lelaki tersebut dilihat menampar muka pekerja kerana didapati telah mengotorkan kereta yang dicucinya sewaktu mahu mencuci cermin dalam kereta tersebut.

Menurut seorang pengguna Facebook, Atie Abdul Hamid, yang memuat naik video tersebut di laman sosial, pekerja tersebut dipercayai telah memasuki kenderaan pemilik itu untuk mencuci cermin dalam kenderaan itu.

Lelaki itu berkemungkinan memukul pekerja warga asing berkenaan kerana pakaiannya yang lusuh dan kotor.

Malah,pemilik kereta tersebut turut dipercayai enggan membayar upah mencuci keretanya sebaliknya meminta RM1000 sebagai ganti rugi.

Pekerja warga asing itu yang mengalami pendarahan kemudian dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

Hasil x-ray kemudian mengesahkan bahawa pekerja warga asing itu mengalami patah tulang hidung.

Video itu setakat ini menerima lebih 20 ribu likes dan telah dikongsikan lebih 40 ribu perkongsian.

Susulan itu, rata-rata pengguna media sosial mengkritik tindakan lelaki tersebut dengan mempersoal sikap perikemanusiaannya.

Seorang pengguna Facebook, Azahar Harfa berkata, "Harta dunia..sekelip mata Allah boleh tarik nikmat dunia dan mohon pekerja terbabit tampil membuat laporan polis. Manusia macam ini layaknya undang-undang menghukum."

Abdullah Pengiran Matusin pula berkata, "beginilah manusia yang terpaksa menjaga hartanya sampai mati, jika dia berilmu maka sampai mati ilmu yang menjaga dia...sehingga angkuh dengan apa yang dia miliki."