Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah menahan seorang lelaki tempatan berusia 20 tahun kerana memiliki tenggiling hidup secara haram semasa operasi jabatan berkenaan di Kota Belud pada Khamis.

Pengarah JHL Sabah, Augustine Tuuga berkata suspek, yang juga penjual kelapa dari Kota Belud, ditahan pada 11 pagi, dan tenggiling tersebut ditemui disembunyikan dalam bonet kereta yang dipandu lelaki terbabit.

Beliau berkata suspek dipercayai menawarkan dan cuba menjual haiwan tersebut menerusi laman sosial, dan lelaki terbabit ditahan untuk siasatan lanjut.

"Pada 3 Jan, bertindak atas maklumat daripada orang awam, sepasukan empat anggota penguatkuasa JHL diarahkan mengesan dan memeriksa kereta jenis Proton Persona berhampiran sebuah stesen minyak di bandar Kota Belud.

"Selepas pemeriksaan, pasukan penguatkuasa itu menemui tenggiling hidup dalam bonet kereta tersebut. Haiwan dan kereta tersebut dirampas pasukan penguatkuasa," katanya.

Sementara itu, Tuuga mengucapkan terima kasih kepada orang ramai atas maklumat yang membawa kepada penahanan lelaki terbabit.

Beliau turut menegaskan bahawa aktiviti penjualan hidupan liar dan haiwan dilindungi melalui media sosial seperti WhatsApp dan Facebook adalah meluas serta aktif, namun jabatan berkenaan akan sentiasa memantau kegiatan tersebut.

Beliau berkata tenggiling adalah antara haiwan yang dilindungi sepenuhnya dalam Bahagian I Jadual I Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997.

Pemilikan mana-mana haiwan di bawah jadual berkenaan tanpa permit daripada JHL merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 41 (1) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 41 (4) (a) enakmen yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM50,000 serta tidak melebihi RM250,000, dan boleh dipenjara tidak kurang daripada setahun tetapi tidak melebihi lima tahun, katanya.

-- BERNAMA