"Sejak kelmarin saya tak nampak arwah dan menyangka dia tiada ada di rumah, tak sangka pula dia sudah meninggal dunia.”

Demikian kata Salmah Ahmad, 48, yang juga jiran berhampiran rumah seorang lelaki warga emas, Zulkifle Kassim, 66, di Jalan Lumpur, dekat Alor Setar yang ditemui mati di dalam rumahnya.

Menurut Salmah, dia tidak mengetahui Allahyarham ada menghidap penyakit kerana jirannya itu nampak sihat.

Katanya, sebelum ini dia kerap menegur arwah jika dia berada di rumah namun lelaki itu hanya membalas dengan senyuman.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan mayat mangsa.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tiada sebarang unsur jenayah.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan jam 11.21 pagi berhubung khidmat khas pintu terkunci.

Beliau berkata, sepasukan anggotanya dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Anuar Hamid bersama lapan anggota dan dua jentera tiba di lokasi rumah mangsa.

Setibanya di tempat kejadian, didapati terdapat mangsa seorang diri yang terkunci di rumahnya.

Jelas Mohamadul Ehsan anggotanya mengambil masa satu minit untuk membuka pintu rumah berkenaan sebelum mendapati mangsa sudah meninggal dunia.

Mohamadul Ehsan berkata, tindakan anggota BBP Alor Setar adalah dengan menggunakan 'crowbar' untuk membuka pintu dengan kebenaran waris mangsa.

Mayat mangsa di hantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) sebelum kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.