Seorang lelaki warga Thailand berusia 32 tahun melecur di bahagian kaki, tangan serta leher selepas rumah sewa yang didiami bersama keluarga di Kampung Tebing Tinggi, Sabak, hangus terbakar, malam tadi.

Adik mangsa, Aliah Ismail, 14 tahun, berkata, dia menyedari kejadian kira-kira jam 8.45 malam itu selepas pergi ke ruang dapur untuk melihat nasi yang ditanak oleh abangnya yang ketika itu sedang berada di dalam bilik air.

Katanya, sebaik melihat percikan api yang jatuh pada tong gas, dia terus mendapatkan empat adik yang sedang menonton televisyen di ruang tamu.

"Kemudian, saya kembali semula ke ruang dapur untuk mengambil dua motosikal yang diparkir di bahagian dapur, namun hanya sebuah sahaja yang dapat diselamatkan, manakala sebuah lagi hangus terbakar.

"Ketika mahu menyelamatkan diri, abang saya tercedera dan melecur di bahagian kaki kiri, pergelangan tangan kanan serta leher," katanya.

Aliah berkata, ketika kejadian, ibunya tidak berada di rumah kerana keluar bekerja dan dia segera menghubungi ibunya.

"Lebih menyedihkan lagi, saya tidak dapat menyelamatkan semua dokumen penting termasuk pasport dan dokumen perjalanan memandangkan kami adalah warga Thailand yang baru sebulan lebih menyewa di sini.

"Buat sementara waktu, kami sekeluarga terpaksa menumpang di rumah sepupu yang tinggal tidak jauh dari rumah sewa kami yang terletak di Sabak," katanya.

Aliah melihat rumah keluarganya yang terbakar dalam kejadian malam tadi. Astro AWANI

Sementara itu, Ketua Operasi Penguasa Bomba Kanan II (PBKII) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Chepa, Mahusin Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.10 malam dan tiba di lokasi kejadian lapan minit kemudian.

"Seramai 16 anggota daripada BBP Pengkalan Chepa dan Kota Bharu bergegas ke lokasi kejadian dan api berjaya dipadam dalam masa 20 minit.

"Ketika pihak kami tiba di lokasi, didapati rumah yang didiami dua keluarga ini sudah 80 peratus terbakar dan tindakan pantas anggota dapat menyelamatkan dua rumah berhampiran daripada turut musnah dijilat api," katanya.

Katanya, mangsa yang tercedera telah dibantu oleh orang awam sebelum dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) menggunakan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

"Punca kebakaran dan (jumlah) kerugian yang dialami masih lagi dalam siasatan," katanya.