Tindakan seorang lelaki warganegara China cuba menyeludup keluar dadah dari negara ini dengan membalut heroin 'base' ditubuhnya tidak kesampaian apabila dia ditahan polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTAPP).

Lelaki berusia 44 tahun itu ditahan bersama enam ketulan mampat dadah seberat 2313 gram bernilai RM215,0000 pada Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supritendan A. A. Anbalagan berkata, lelaki itu mahu menaiki pernerbangan ke Hong Kong ditahan sewaktu pemeriksaan di bahagian pengimbas selepas dia berada dalam keadaan mencurigakan.

Pemeriksaan lanjut menemui enam ketulan mampat heroin 'base' dalam bengkung yang diikat pada tubuhnya sebelum bengkung berkenaan ditutup dengan plastik bagi mengelak dikesan pengimbas di lapangan terbang tersebut.

Anbalagan berkata, polis turut merampas wang tunai pelbagai mata wang bernilai RM1,181.87 daripada suspek.

Menurut Anbalagan, lelaki itu mendakwa dia datang ke negeri ini untuk mengambil bekalan dadah iaitu heroin 'base' daripada sindiket dadah sebelum menghantarnya kepada sindiket dadah di negaranya.

Foto Astro AWANI

Malah lelaki yang bekerja sendiri itu mendakwa dia terpaksa datang mengambil dadah dan membawa balik ke negaranya bagi melangsaikan sejumlah besar hutangnya dengan sindiket dadah berkenaan.

"Siasatan kita mendapati lelaki itu pernah masuk ke Malaysia dan datang ke Pulau Pinang pada awal November lepas sebelum pulang ke negaranya selepas tiga hari berada di sini dan datang semula pada 27 November lalu sebelum ditahan ketika mahu pulang ke sana," katanya.

Pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesan sindiket dadah yang membekalkan heroin 'base' tersebut kepada lelaki itu.

Menurutnya, heroin 'base' yang dirampas itu boleh diproses menjadi sebanyak 5.4 kilogram heroin dan jika terlepas ke pasaran boleh digunakan kira-kira 54,000 penagih dadah.

Anbalagan berkata lelaki itu di reman sehingga 7 Disember ini dan kes tersebut di siasat menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan boleh di hukum gantung sampai mati.