Selebriti Sulaiman Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Leman Raja Lawak didakwa di Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak pada Jumaat atas dua pertuduhan melakukan gangguan seksual fizikal terhadap seorang remaja berumur 17 tahun

Bekas peserta program Raja Lawak musim kelima itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Yong Zarida Sazali.

Menurut laporan portal berita Utusan Online, mengikut pertuduhan pertama, Leman, 38, didakwa memegang tangan mangsa di dalam sebuah kereta jenis Perodua Myvi di Puchong, Selangor pada pukul 3.30 petang, 6 April lalu.

Leman turut dituduh melakukan gangguan seksual terhadap mangsa yang sama di sebuah rumah di Seri Kembangan, Selangor pada pukul 4 petang, tarikh sama.

Utusan Online turut melaporkan, kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Norazalina Razali sebelum itu memohon mahkamah untuk tidak mencadangkan sebarang jaminan dan jika mahkamah membenarkan jaminan, beliau memohon hakim menetapkan syarat yang ketat.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Muaz Zafar memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya mempunyai seorang isteri yang sedang sarat mengandung dan tiga orang anak selain tidak mempunyai pendapatan tetap.

Mahkamah membenarkan tertuduh membayar ikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan iaitu tertuduh dilarang menghubungi, mendekati atau berjumpa mangsa serta keluarganya selain perlu melapor diri di balai polis berhampiran sekali setiap bulan.

Mahkamah turut menetapkan 27 Ogos ini untuk sebutan semula kes.