Lemas merupakan penyebab kematian kedua tertinggi kanak-kanak di negara ini selepas kemalangan jalan raya dengan kira-kira 500 golongan berusia satu hingga 18 tahun dilaporkan menjadi mangsa setiap tahun, demikian menurut kajian Pusat Penyelidikan Klinikal Perak.

Ketua pusat Datuk Dr Amar Singh berkata untuk tahun ini sahaja sehingga September lalu, 31 kanak-kanak, kebanyakannya berumur antara dua dan sembilan tahun, menjadi mangsa lemas di kolam renang hotel dan taman tema.

Kira-kira 75 peratus daripada jumlah itu membabitkan kanak-kanak berumur bawah lima tahun, katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Seminar Pencegahan Lemas oleh Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara yang juga Anggota Majlis Keselamatan Aktiviti Air (MKAA) Tan Sri Lee Lam Thye, di sini hari ini.

"Masyarakat tahu denggi itu penting. Tetapi untuk satu kematian denggi membabitkan kanak-kanak bersamaan 30 kanak-kanak akan mati lemas, itu perbandingannya. Lemas merupakan masalah yang lebih besar," katanya.

Dr Amar Singh berkata isu lemas dalam kalangan kelompok usia berkenaan diburukkan oleh cubaan menyelamat mangsa yang pada kebanyakan masa menyebabkan angka kematian berganda.

"Masalah utama di Malaysia ini ialah kanak-kanak cuba menyelamatkan orang lain.. (cuba selamatkan) abang, adik-beradik dan kawan-kawan mereka... itu dua kali ganda menyebabkan kematian," katanya keadaan itu berlaku disebabkan mereka tidak memahami mesej agar tidak cuba membantu mangsa lemas.

Dr Amar Singh yang juga Ketua Jabatan Pediatrik Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh, Perak berkata kejadian lemas membabitkan kanak-kanak di kolam renang hotel dan taman tema berlaku mungkin disebabkan kawasan itu adalah kawasan terbuka dan tidak mempunyai pagar selain tiada pengawal keselamatan.

Sehubungan itu beliau menggesa ibu bapa, pengurusan hotel serta taman tema agar lebih peka dengan permasalahan tersebut.

"Adalah suatu yang tragik untuk seorang kanak-kanak kehilangan nyawa begitu sahaja atau mengalami kecederaan otak akibat lemas semasa aktiviti rekreasi," katanya.

Sementara itu, Lee yang turut hadir pada sidang media berkenaan berkata pihak berkuasa perlu membina pangkalan data lengkap statistik kes lemas dan maklumat berkaitan secara komprehensif supaya pendekatan menyeluruh dapat diperkenalkan bagi mengurangkan jumlah insiden lemas.

"Pada masa ini, data mengenai kes lemas dikumpulkan oleh pelbagai agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Perangkaan dan Kementerian Kesihatan. Angka yang dikeluarkan berbeza-beza kerana setiap agensi mengumpul data untuk tujuan tertentu.

"Pengumpulan data ini adalah langkah pertama dalam pencegahan lemas kerana ia membolehkan kita mengkaji punca dan bagaimana setiap kes lemas berlaku," katanya yang menggesa semua pihak menjadikan pencegahan insiden lemas sebagai budaya.

-- BERNAMA