Tutup

Lembaga Zakat Selangor rai 300 penghuni Penjara Sungai Buloh

Lembaga Zakat Selangor rai 300 penghuni Penjara Sungai Buloh
LZS turut merancang untuk meluaskan program tersebut ke penjara lain di sekitar Lembah Klang dan Selangor bagi memastikan semua lapisan masyarakat menerima nikmat hasil pengeluaran zakat. - Gambar Astro AWANI
SUNGAI BULOH: Riak ceria jelas terpancar di wajah lebih 300 banduan di Penjara Sungai Buloh yang dirai dalam program Kempen Zakat Di Hati 2019 anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS), pada Jumaat.

Mereka antara 3,000 penghuni Penjara Sungai Buloh yang terdiri daripada tahanan reman dan banduan yang sudah menjalani hukuman penjara lebih puluhan tahun atas pelbagai kesalahan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan Mat Yusop, program Sehari Bersama Penghuni Sungai Buloh itu sebagai inisiatif institut tersebut untuk menyantuni kumpulan berkenaan.

“Di samping kita mengadakan program-program bersama penghuni dan kakitangan, kita juga nengadakan majlis ceramah agama, selain memberikan kesedaran dan kefahaman kepada semua tentang zakat.
“Ini kerana satu hari nanti InsyaAllah mereka yang menjadi penghuni di Penjara Sungai Buloh ini akan keluar dan mereka akan berubah menjadi lebih baik dan menjadi pembayar zakat di LZS,” katanya, hari ini.

Turut hadir adalah penceramah bebas, Maulana Wan Helmi Wan Chik, Pencetus Ummah (PU), Suhaimi Mohd Yunus dan pelakon, Adam Korie.

Sebelum itu, media turut dibawa melawat  56 banduan akhir di penjara tersebut, selain mengadakan Perarakan Maulidur Rasul bersama penghuni.

Mengulas lanjut, kata Saipolyazan, di samping memberikan kesedaran tentang tanggungjawab menunaikan zakat, program sedemikian mampu memupuk sikap prihatin dalam kalangan masyarakat.

Jelasnya, LZS turut merancang untuk meluaskan program tersebut ke penjara lain di sekitar Lembah Klang dan Selangor bagi memastikan semua lapisan masyarakat menerima nikmat hasil pengeluaran zakat.

Sementara itu, Penasihat Jabatan Shariah dan Pematuhan Halal QSR Brands, Mohd Roslan Mohd Saludin berkata usaha sedemikian perlu dipergiatkan dan disokong pelbagai pihak.

“Memberi mereka sekurang-kurangnya semangat dan motivasi bagaimana mereka sebenarnya tidak dipinggirkan tetapi masih lagi didampingi.

“Cuma tinggal lagi mereka perlu berubah dan apabila mereka keluar nanti InsyaAllah akan diterima oleh masyarakat seperti mana masyarakat di luar sana,” katanya.


Tag: LZS, Banduan Sungai Buloh, LZS santuni banduan, Penjara Sungai Buloh, Kempen Zakat Di Hati 2019, banduan, Sehari Bersama Penghuni Sungai Buloh, Maulidur Rasul, Saipolyazan Mat Yusop



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.