Perbincangan harus dilakukan antara kedua-dua negara tanpa merujuk kepada pihak ketiga.

Itu respon penganalisis politik, Azmi Hassan ketika mengulas mengenai pendekatan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong yang berkata akan menangani semua isu-isu baharu dan yang sedang dihadapi dengan Malaysia secara 'tenang dan konstruktif’.

Menurutnya, pendekatan Hsein Loong tidak memeranjatkan kerana ia merupakan strategi yang digunakan oleh beliau sejak dahulu lagi.

“Sekiranya kita melihat isu lampau iaitu isu tanah Kereta Api Melayu Berhad (KTMB) dapat diselesaikan tanpa sebarang masalah.

“Perbincangan haruslah dilakukan antara kedua-dua negara, dan penyelesaian dapat dilakukan melalui konsep menang-menang,” katanya kepada Astro AWANI.

Azmi juga tidak menafikan pengalaman yang dimiliki oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad menyebabkan Hsien Loong melihat isu ini secara tenang dan konskrutif.

“Sekiranya kita lihat ketika era pemerintahan Dr Mahahtir ketika beliau menjawat jawatan Perdana Menteri keempat beliau telah menyelesaikan pelbagai isu dua hala antara Malaysia dan Singapura.

“Misalnya isu air, isu ruang udara merupakan isu yang panas ketika Dr Mahathir menjawat jawatan Perdana Menteri keempat, katanya.

Tambahan pula, Singapura juga, kata Azmi, menggunakan kekuatan diplomatiknya di dalam perbincangan dalam menangani isu ini.

“Mereka mempunyai kekuatan dari segi pertahanan yang hebat dan juga hubungan antara negara-negara sekutu, katanya.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, Malaysia juga mempunyai kekuatannya sendiri iaitu pengalaman yang dimiliki oleh Dr Mahathir dalam mentadbir negara lebih 20 tahun

Beliau berkata, ini merupakan masa yang paling sesuai untuk kita menyelesaikan apa saja masalah yang dihadapi oleh dua negara jiran itu.

Kesimpulanya, masalah antara Singapura dan Malaysia adalah satu perkara yang unik dan kita harus menyambutnya dengan tangan terbuka.

Hubungan antara Malaysia dan Singapura adalah unik kerana ia bukan berlandaskan kepada hubungan antara negara dengan negara tetapi kepada hubungan antara rakyat bersama rakyat.
.
“Sikap tolak ansur, terus terang dan jujur merupakan prasyarat sebelum penyelesaian dilakukan antara Malaysia dan Singapura," ulas beliau lagi.