Dalam kemeriahan sebuah keluarga berkumpul menyambut Aidilfitri di Kampung Yoi, Padang Terap di sini, mereka dikejutkan dengan bunyi kuat dari telaga berhampiran kediaman itu pada malam Isnin.

Selepas diperiksa, bunyi itu rupa-rupanya datang dari seekor lembu jantan bersaiz besar dianggarkan seberat 100 kilogram yang terjatuh ke dalam telaga berkenaan.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Padang Terap, Leftenan (PA) Mohd Shukri Shuib berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 8.47 malam daripada pemilik lembu berkenaan yang memaklumkan haiwan itu terjatuh dan terperangkap di dalam telaga.

“Sebaik anggota tiba, mereka melihat lembu jantan baka Brahman seberat 100 kilogram itu berada dalam telaga yang mempunyai takungan air sedalam kira-kira tiga meter.

“Anggota terpaksa mengambil masa kira-kira 45 minit untuk menarik lembu itu keluar dari telaga berkenaan dengan menggunakan tali,” katanya di sini pada Selasa.

Tambah beliau, selepas diselamatkan, lembu itu kelihatan lemah kerana berada terlalu lama di bahagian sudut telaga berkenaan yang lebih cetek dan tidak boleh bergerak.

“Lembu itu kemudiannya diserahkan kepada pemiliknya,” katanya.