Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa dilihat terlampau terdesak untuk menghina Datuk Seri Najib Tun Razak sehingga sanggup memaparkan gambar Perdana Menteri yang disunting di laman media sosial miliknya.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Segamat, Bastien Onn berkata, tindakan itu hanya menimbulkan kemarahan rakyat selain usaha mengelirukan masyarakat dengan isu yang sengaja direka.

"Sivarasa begitu terdesak sekali memfitnah Najib sehingga terpaksa menyunting muka depan majalah Times Edisi 17 Mac 2016. Jangan sampai rakyat melenting kerana tindakan menyunting gambar yang memburukkan imej Perdana Menteri.

"Pihak Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia (SKMM) perlu mengambil tindakan tegas berasaskan undang-undang sedia ada selain daripada Polis Di Raja Malaysia (PDRM) tanpa menunggu laporan daripada orang ramai.

"PKR memang selama ini terkenal sebagai parti yang menjadikan fitnah sebagai budaya politik di mana ramai dalam kalangan pemimpin mereka dan portal akhbar rasmi mereka telah disabitkan bersalah oleh mahkamah kerana kesalahan berkenaan," katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini hari ini.

Bastien mengulas tindakan Sivarasa yang memaparkan suntingan wajah Najib di muka depan majalah Times.

Sivarasa di laman Facebooknya turut mengakui gambar itu palsu namun tinjauan mendapati dia masih tidak memadamkan lagi catatan berkenaan.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim memberi amaran kepada individu yang menyebar atau mengaibkan gambar pemimpin negara bakal berdepan dengan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Katanya, akta berkenaan melarang pengguna media sosial menyalahgunakan kemudahan untuk tujuan memburukkan individu tertentu.

Papan tanda 'Anwar'

Dalam perkembangan berasingan, Bastien turut mengecam tindakan Kerajaan Selangor yang menaikkan papan iklan berkaitan bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di beberapa lokasi di Ampang.

"Mereka seolah-olah tidak mempercayai dan menolak semua sistem keadilan dan badan-badan kerajaan yang terlibat dalam siasatan tersebut.

"Anwar telah diadili setelah melalui proses mahkamah yang panjang. Sistem apa lagi yang mahu diguna pakai untuk dijadikan sandaran mentadbir negara? Apakah sistem yang ada untuk menegakkan undang-undang?

"Ini membuktikan mereka hanya percaya kepada mahkamah media dan membiarkan rakyat menghukum dengan mengenepikan badan kehakiman yang menjadi salah satu daripada teras negara Malaysia. Sebab itu mereka berterusan meracuni fikiran rakyat agar mereka memperolehi faedah daripadanya," jelasnya.

Tegas Bastien, ia sekali gus menjadikan usaha-usaha yang tidak bermoral seumpama itu sebahagian daripada cara pihak berkenaan dalam mentadbir negeri.

Sebelum ini, polis menurunkan tiga papan iklan #BebasAnwar di sekitar Ampang yang menuntut pembebasan Anwar dari Penjara Sungai Buloh.

Bagaimanapun, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin yang juga adalah ahli Parlimen Ampang berkata, tindakan itu adalah provokasi yang sengaja dilakukan untuk mendapatkan respon beremosi daripada kerajaan negeri.