HASHTAG telah wujud selama bertahun-tahun, terima kasih kepada laman sosial untuk memperkenalkan trend tersebut.

Fungsi hashtag memang hebat jika digunakan dengan cara yang betul tetapi perkara akan menjadi rumit dan berbahaya jika ia digunakan secara tidak wajar.

Sebenarnya hashtag boleh membawa keburukan jika ia digunakan bersama foto peribadi anda yang dimuat naik secara umum di Facebook, Instagram ataupun di Twitter.

Perbuatan menggunakan hashtag bagi gambar anak-anak bagaikan memberi peluang kepada pihak ketiga untuk menyalahgunakan gambar tersebut.

Tahukah anda bagaimana hashtag berfungsi?

Hashtag sebenarnya direka untuk syarikat-syarikat dan kalangan masyarakat yang mahu mengadakan perbualan secara terbuka dengan tujuan mengumpul maklumat tertentu.

Hashtag Twitter dapat mengumpulkan tweet, hashtag Instagram dapat mengumpul gambar dan hashtag Facebook dapat mengumpul status bersama gambar.

Berikut adalah 3 perkara penting yang anda perlu tahu tentang hashtag yang digunakan pada gambar anak-anak anda di media sosial;

1. Hashtag boleh dicari

Memang anda tidak sedar akan keburukannya ketika anda menulis #blessed atau #cutie apabila memuat naik gambar anak secara umum di media sosial, tetapi perkara akan menjadi lebih rumit apabila hashtag itu dicari oleh seseorang.

Sebagai contoh, jika anda memuat naik gambar anak anda berpakaian baju renang secara awam dengan hashtag #weekend or #mybaby, sesiapapun boleh melihat gambar anak-anak anda apabila mereka mencari hashtag tersebut. Bayangkan jika antara pencari itu merupakan salah seorang pengguna laman web lucah?

2. Nama anak anda tidak seharusnya dijadikan sebagai satu hashtag

Jangan jadikan nama anak anda sebagai satu hashtag kerana perbuatan itu boleh memudahkan penggodam talian untuk mencari gambar bayi di profil awam, mendapatkan tarikh lahir dan nama penuh mereka bagi mewujudkan akaun palsu dengan nama anak anda.

3. Status bersama hashtag dapat mengumpul maklumat

Bukan sahaja untuk gambar, status yang dimuat naik bersama gambar juga perlu dielakkan daripada menggunakan hashtag terutamanya jika status tersebut mempunyai gambar anak anda. Hal ini kerana hashtag pada sesebuah status di Facebook mampu mengumpul maklumat jika dicari termasuk foto anak-anak anda.

Anda boleh menyelamatkan anak anda daripada menjadi mangsa siber buli dengan memprivasikan gambar mereka, dan elakkan memuat naik gambar secara umum dan dengan hashtag.