Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan semua ahli parlimen UMNO bahawa kemenangan yang dicapai dalam Pilihanraya Umum lalu bukanlah sepenuhnya atas kapasiti dan peribadi mereka sendiri.

Beliau menegaskan kesemua ahli parlimen berkenaan harus sedar bahawa mereka bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN).

“Kalau mereka ahli parlimen bermaruah, mereka hendaklah meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen dan sanggup hadapi pilihanraya kecil jika diadakan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MT di Menara Dato Onn di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin mengumumkan keluar daripada Umno dan menjadi ahli parlimen bebas.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas melihat reaksi, sentimen dan sikap sebenar ahli Umno yang masih dalam sindrom penafian termasuk harapan untuk melihat mereka memilih sekurang-kurangnya 70 peratus muka baru yang berwibawa dalam pemilihan Umno di pelbagai peringkat tidak kesampaian.

Sementara itu mengulas jawatan ketua pembangkang, beliau menegaskan ia akan diputuskan selepas perbincangan lanjut bersama semua parti komponen serta ahli parlimen bebas yang mahu menyertai Barisan Nasional.

“Lazimnya presiden jadi ketua pembangkang. Kita akan adakan mesyuarat dalam kalangan ahli-ahli parlimen daripada pelbagai parti ini untuk menentukan ketua pembangkang,” tambahnya.