Mahkamah Majistret di sini, hari ini menetapkan 7 Nov depan untuk sebutan semula kes dua lelaki yang didakwa melakukan perbuatan pengganas dengan meletupkan bom tangan sehingga menyebabkan lapan orang cedera di sebuah pusat hiburan di Puchong dekat sini Jun lepas.

Majistret Zaki Asraf Zubir menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Fazeedah Faik memohon tarikh baharu berikutan tertuduh pertama, Imam Wahyudin Karjono, 20, yang ditahan di Penjara Kajang, sekali lagi tidak hadir ke mahkamah atas sebab-sebab tertentu.

Pada 25 Julai lepas, Imam Wahyudin, seorang penganggur, dan Jonius Ondie @ Jahali, 24, seorang operator kilang, didakwa bersama-sama secara langsung melakukan perbuatan pengganas dengan cara membaling dan meletupkan bom tangan menggunakan fius lever jenis 'Fuze M213' sehingga
menyebabkan kecederaan terhadap lapan mangsa.

Perbuatan itu, yang didakwa dilakukan dengan niat untuk melanjutkan suatu perjuangan ideologi dan mengugut orang awam di Malaysia, berlaku di pusat hiburan Movida Boulevard Sdn Bhd, Lot G2 & G3, Tingkat Bawah, IOI Boulevard, Jalan Kenari 5, Bandar Puchong Jaya, Puchong, pada 2 pagi, 28 Jun lepas.

Mereka didakwa me­ngikut Seksyen 130C(1)(b) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Imam Wahyudin turut didakwa dengan pengetahuan memberi sokongan kepada berlakunya perbuatan pengganas yang melibatkan penggunaan bahan letupan dan perbuatan itu dilakukan dengan niat sama melalui aplikasi Telegram miliknya di C-4-19, Blok Cempaka, Jalan Indah 1, Puchong Indah, di sini di antara 25 Mac dan 28 Jun lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(b) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau penjara tidak melebihi 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniatkan untuk digunakan untuk kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam itu kerana kes itu terletak di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang merupakan bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Jonius yang berasal dari Kota Marudu, Sabah kemudian dibawa ke Penjara Sungai Buloh.

Pada 21 Sept lepas, Imam Wahyudin tidak hadir di Mahkamah Sesyen atas sebab tertentu bagi mendengar laporan sosialnya dan menjatuh hukuman bagi kedua-dua tertuduh atas pertuduhan membaling, meletupkan dan memiliki bom tangan sehingga menyebabkan lapan cedera. -- BERNAMA