Pengusaha ladang kelapa sawit akan dikenakan levi tambahan sebanyak RM1 bagi setiap metrik tan pengeluaran minyak sawit mentah bermula tahun hadapan.

Menteri Perindustrian Utama Teresa Kok menjelaskan dana ini akan digunakan bagi usaha inisiatif hijau seperti penanaman pokok dan pemuliharaan haiwan.

“Kami tidak mahu lagi dituduh, kononnya industri minyak sawit ini adalah punca masalah penebangan hutan dan pembunuhan haiwan dan sebagainya,

“Saya mahu negara-negara barat tahu bahwa industri sawit, kawasan hutan dan hidupan liar boleh wujud bersama,” kata Teresa kepada Astro AWANI di Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa, hari ini.

Katanya, pihaknya kini sudah memulakan Program Penanaman Satu juta pokok di Sabah selepas menandatangi kontrak perjanjain antara JPS dan MPOC, baru-baru ini.

Selain itu, Teresa juga memaklumkan rancangannya dalam membangunkan koridor haiwan di berdekatan Sungai Kinabantangan.

“Kita mahu membina koridor haiwan ini supaya haiwan seperti Gajah pygmy dan Orangutan boleh akses ke kawasan hutan untuk mencari makanan.

“Haiwan ini tidak perlu berkeliaran di kawasan perladangan hutan untuk mencari makanan,” katanya.

Sementara itu, Teresa turut mensasarkan lebih 70 peratus pengusaha ladang sawit ini mendapatkan Pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MPSO) mulai tahun depan.

“Mungkin ramai tidak tahu komoditi pertanian di Malaysia adalah antara penyumbang utama eksport negara ini.

"Ia sangat penting untuk pengusaha ladang sawit mendapatkan pensijilan ini, supaya industri ini boleh terus dikukuhkan di peringkat global," katanya.

Tambahnya, pengusaha ladang kelapa sawit yang mempunyai tanah seluas 100 ekar (40 hektar) berdepan risiko lesen mereka dibatalkan sekiranya gagal mendapatkan sijil tersebut.

“Satu ketika dahulu saya merupakan antara pembangkang yang lantang menyuarakan pendapat saya terhadap kerajaan terdahulu.

“Kini saya terus berlantang dan berkempen di peringkat antarabangsa bagi memperkasakan industri sawit Malaysia,” tegasnya.