LGBT berdosa tapi tak jadikan mereka kafir: Dr MAZA

LGBT berdosa tapi tak jadikan mereka kafir: Dr MAZA
Menurut Mohd Asri, homoseksual merupakan satu dosa namun ia tidak menjadikan pelakunya terkeluar daripada Islam dan kadar dosa mereka hanya diketahui Allah. - Gambar hiasan
SHAH ALAM: Islam sebagai agama fitrah tidak akan mengiktiraf amalan seks songsang kerana menganggap perbuatan tersebut keji meskipun ada pihak mendesak hubungan sebegitu diiktiraf atas dasar hak asasi manusia.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, seks sesama jenis merosakkan fitrah dicipta Tuhan dan jika ia diterima bermakna kemungkinan seks dengan haiwan atau sesama mahram kelak akan diikitiraf menggunakan asas sama.

Mohd Asri juga merasakan laras bahasa diguna dalam mengimbangi hujah bahawa mereka, golongan LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual) juga mempunyai hak sebagai manusia hendaklah berkesan dan difahami oleh generasi kini.

"Kita wajar menjelaskan kepada mereka bahawa Islam menolak seruan dan amalan seks yang songsang tersebut namun dalam masa yang sama, Islam mengiktiraf sudut-sudut yang lain dari segi keinsanan dan persaudaraan sesama Muslim.
"Ajaran Islam sentiasa memberikan harapan untuk manusia kembali kepada ALLAH dengan penuh penuh cinta dan taubat. Agama ini tidak menjadikan manusia putus asa sebaliknya sentiasa memberikan harapan dan sinar ke arah yang lebih baik.

"Golongan LGBT sama seperti kita semua. Di hadapan terbentang luas pintu untuk kembali kepada Tuhan Yang Maha Penyayang," katanya yang memuat naik kenyataan itu dalam laman Facebook miliknya.

 

Tambah beliau, dakwah mengajak golongan LGBT kembali kepada fitrah merupakan dakwah mulia dan usaha mereka yang terjebak kembali kepada kehidupan normal merupakan satu ibadah dan pahala besar.

"Tugasan kita bersama ialah membantu antara satu sama lain kembali kepada ALLAH dan mendapatkan keampunanNYA.

Dakwah agar golongan LGBT kembali kepada fitrah merupakan dakwah yang mulia.

"Usaha agar mereka kembali kepada kehidupan yang normal merupakan satu ibadah dan pahala yang besar. Dakwah itu menuntut kita mencari pendekatan yang terbaik dan sesuai dengan keadaan mereka yang kita dakwah itu," ujarnya.

Mengulas lanjut, Mohd Asri menegaskan homoseksual merupakan satu dosa namun ia tidak menjadikan pelakunya terkeluar daripada Islam dan kadar dosa mereka hanya diketahui ALLAH.

"Pengamal perbuatan ini, selagi tidak menghalalkannya, maka dia seorang Muslim yang berdosa sepertimana pendosa-pendosa yang lain. Kadar dosa hanya diketahui oleh Allah.

"Dosa semata tidak membolehkan seseorang dikafirkan. Maka seperti pendosa yang lain, keampunan ALLAH masih terbuka untuk mereka. Sebagai Muslim, mereka ada hak-hak sesama Muslim yang wajib ditunaikan," katanya.