Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) hari ini memulakan kerjasama dalam satu program perkongsian maklumat bagi memastikan pematuhan cukai di kalangan rakyat pembayar cukai.

Menurut Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani, kerjasama di bawah Strategi Lautan Biru Nasional (NBOS) itu, menerusi satu memorandum persefahaman (MoU), mampu meningkatkan kecekapan kutipan cukai di negara ini.

“Kedua-dua agensi perlu bekerjasama agar tenaga kerja sedia ada dapat dikekalkan selain mengurangkan kos penguatkuasaan.

"Data yang diperolehi membolehkan tindakan sesuai dan tepat diambil terhadap pembayar cukai," katanya selepas majlis menandatangani MoU itu di sini pada Khamis.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, MoU itu membolehkan JKDM mendapatkan maklumat daripada LHDN seperti Borang B, Borang BT, Borang M dan Borang C, antara lain, merangkumi maklumat pendapatan perniagaan, penggajian pendapatan lain, keuntungan cukai harta tanah, cukai pegangan dan sebagainya.

LHDN pula akan memperolehi maklumat khusus yang terdapat dalam Borang GST01, GST 03 dan GST04 serta maklumat lain dalam kawalan JKDM.

Sementara itu, Johari berkata, satu Jawatankuasa Induk Perkongsian Maklumat, yang dianggotai pengurusan tertinggi kedua-dua agensi, dan Jawatankuasa Kerja Teknikal, telah ditubuhkan bagi pelaksanaan program ini.

“MoU ini turut membantu Pasukan Petugas Collection Intelligence Arrangement (CIA) yang ditubuhkan tahun lalu untuk meningkatkan keberkesanan pematuhan dan menangani isu ketirisan cukai,” tambahnya.

Majlis tersebut turut dihadiri Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Subromaniam Tholasy dan Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Seri Sabin Samitah.

Mengulas mengenai keberkesanan pasukan CIA melalui inisiatif perkongsian maklumat dengan JKDM, Sabin berkata sehingga 30 Sept tahun ini, pihaknya dapat menyelesaikan 17,454 kes melibatkan jumlah penyelesaian cukai sebanyak RM789.85 juta.

Bagi JKDM pula, Subromaniam berkata, perkongsian maklumat bersama itu akan meningkatkan prestasi jabatannya dari segi peningkatan hasil.

Sehingga Oktober 2017, JKDM telah menyelesaikan 7,537 kes melibatkan penyelesaian tuntutan hasil Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan duti import berjumlah RM695.79 juta yang sebahagiannya susulan hasil perkongsian maklumat.