Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah memuat naik Program Memfail Borang Nyata (BN) Bagi Tahun 2020 di portal rasminya sebagai rujukan dan panduan kepada pembayar cukai untuk mengemukakan BN mereka pada tahun ini.

LHDN dalam kenyataannya pada Khamis memaklumkan dokumen tersebut boleh diakses dan dimuat turun dengan mengikut langkah mudah iaitu melayari laman portal rasmi LHDN di www.hasil.gov.my, klik menu borang dan submenu Program Memfail BN Bagi Tahun 2020 atau menggunakan capaian pantas di pautan http://lampiran1.hasil.gov.my/pdf/pdfam/ProgramMemfailBN_2020_1.pdf (Bahasa Melayu).

"Orang ramai dan pembayar cukai yang mempunyai sebarang pertanyaan lanjut mengenai Program Memfail BN Bagi Tahun 2020 ini boleh menghubungi Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 atau 603-8911 1100 (luar negara) untuk penjelasan," jelas kenyataan itu.

-- BERNAMA