Menjadikan bangsal ternakan lembu dan ikan sebagai tempat 'memasak' dan memproses dadah.

Itu modus operandi yang digunakan oleh sindiket pengedaran dadah di Bukit Beruntung, Hulu Selangor bagi menjalankan kegiatan haram itu sejak setahun lalu.

Bagaimanapun, taktik licik kumpulan berkenaan berjaya dihidu selepas polis menahan 11 individu termasuk seorang wanita warga tempatan dalam serbuan yang dilakukan pada pukul 12.20 tengah hari pada Selasa.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, hasil serbuan, polis berjaya merampas dadah jenis heroin dan kaffein, masing-masing seberat 15.97 kilogram (kg) dan 28.8 kg, dengan nilai keseluruhan RM222,960.

“Hasil risikan membawa ke tempat itu. Jadi, modus operandi dengan memproses di Kawasan terpencil dan barulah dia buat pengedaran ke tempat-tempat yang mahu dijual dan berikan kepada sindiket-sindiket.

“Salah seorang daripadanya kita namakan sebagai pakar kimia tempatan yang tidak bertauliah. Ini kerana suspek tersebut tidak mempunyai ijazah dalam bidang kimia tetapi dia mempunyai keupayaan untuk membuat campuran dan memasak dadah jenis heroin,”katanya pada sidang media, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya suspek yang ditahan berusia antara 34 hingga 53 tahun, selain polis turut menyita tiga kenderaan bernilai RM33,000 sebagai bahan bukti siasatan.

Tambah Mohd Khalil, saringan ujian air kencing terhadap kesemua suspek mendapati masing-masing negatif dadah.

Manakala, empat daripada suspek itu disahkan mempunyai rekod jenayah lampau.

Kesemua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.