Satu audit keselamatan dan penyelanggaran perlu dijalankan membabitkan perkhidmatan lif di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di seluruh Lembah Klang.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, kualiti lif yang ada di kawasan perumahan berkenaan perlu dikaji semula bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Bagi saya perlu dilakukan satu audit keselamatan dan audit penyelenggaraan agar kita dapat satu perincian mengenai tahap dan mutu lif-lif yang ada bagi semua PPR dan PA di seluruh Kuala Lumpur khususnya di Lembah Pantai - kita ada enam kawasan PPR dan dua PA.


“Saya sendiri akan melihat kepada tahap perkhidmatan lif di PPR dan PA ini dan di situ saya percaya perlu dirangka mungkin satu penjadualan semula untuk memastikan insiden ini tidak berlaku lagi,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Jumaat.

Beliau berkata demikian selepas sebuah lif pangsapuri PPR Kampung Kerinchi, Pantai, terhempas dari tingkat lima bangunan itu, pada Jumaat. Dalam insiden yang berlaku kira-kara jam 2.30 petang itu, seramai lapan mangsa mengalami kecederaan.


Mengulas lanjut, Fahmi berkata, tumpuan juga perlu diberikan kepada aspek keselamatan termasuk pili bomba yang perlu dibaik pulih di kawasan perumahan tersebut.

“Apabila saya membuat lawatan ‘spotcheck’, sering kali saya melihat selain masalah lif, masalah pili bomba juga menjadi masalah yang agak merisaukan. Jadi, saya melihat aspek keselamatan secara keseluruhan perlu diutamakan.

“Apa-apa pun komitmen daripada DBKL dan Datuk Bandar (Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan) sendiri cukup jelas dan kita akan usahakan beberapa perkara untuk menangani masalah penyelenggaraan lif di kawasan PPR,” katanya.

BACA: DBKL tanggung semua kos rawatan mangsa - Fahmi