Terdapat tanda awal kerosakan lif yang telah dimaklumkan oleh penghuni di Blok C Pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kg Kerinchi, Pantai, di ibu negara.

Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur, Nordin Pauzi aduan telah dilakukan sebelum berlakunya kejadian mengejut yang menyebabkan lapan mangsa mengalami kecederaan selepas lif terhempas.

“Difahamkan telah ada tanda awal kerosakan yang dimaklumkan oleh penghuni di Blok C PPR berkenaan.

“Beberapa laporan telah dibuat dan selepas berlakunya kejadian secara mengejut ini mungkin kerana kerosakan itu tidak dapat ditampung lagi.

“Ketika ini pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan pasukan jurutera berada di lokasi untuk lakukan siasatan lebih lanjut,” katanya dihubungi Astro AWANI pada Jumaat.



BACA: Empat orang patah kaki, lif terhempas dari tingkat lima PPR Kerinchi

Sementara itu, jelasnya lagi, berdasarkan siasatan awal kerja-kerja penyelenggaraan dilaporkan dilakukan secara berkala sebelum ini.

Bagaimanapun, pihak bomba tiada rekod penyelenggaraan yang dilakukan sebelum ini.

Terdahulu, seramai lapan mangsa mengalami kecederaan selepas lif sebuah pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Kerinchi, Pantai, ibu negara terhempas dari tingkat lima bangunan itu.

Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Kuala Lumpur, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.36 petang, pada Jumaat.