Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) perlu melihat semula adakah sistem pembelajaran dalam talian dapat memberi impak yang positif kepada pelajar institut pengajian Tinggi (IPT).

Speaker Rasmi Kesatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Yillson Yanggun berkata beberapa aspek perlu diberi perhatian serius terutama dari segi emosi dan kesihatan mental pelajar ketika menyesuaikan diri menerima kaedah pembelajaran itu.

"Mungkin pada permulaan, pensyarah teruja dan pelajar juga teruja belajar di rumah, tetapi apabila hingga mencecah hampir tiga bulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), lain cerita boleh berlaku.

"Ada yang kemudahan di rumahnya tidak sama seperti di kampus selain gangguan dan persekitaran di rumah yang boleh memberi tekanan sekali gus mengakibatkan pelajar kemungkinan besar rasa seperti hilang semangat untuk belajar menyebabkan kualiti pendidikan pelajar itu sendiri terjejas," katanya.

Beliau berkata demikian dalam dalam program `Suara Profesor Negara: Pengajaran dan Pembelajaran Dalam Talian: Strategi Mengawal Kualiti' terbitan Bernama TV.

Pada masa sama, Yillson yang juga merupakan bekas Ahli Parlimen Belia Malaysia (Sabah) berkata kebanyakan pensyarah juga tidak bersedia dalam melakukan kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian.

Sebelum ini Kementerian Pengajian Tinggi mengumumkan aktiviti PdP di semua kampus IPT perlu dilaksanakan secara dalam talian sehingga 31 Dis ini.

-- BERNAMA