Menteri Kewangan Lim Guan Eng akan berjumpa dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail minggu depan untuk membincangkan punca kenaikan harga simen baru-baru ini.

Lim berkata beliau menerima aduan daripada beberapa syarikat pemaju mengenai kenaikan mendadak harga simen itu yang bimbang akan memberi kesan buruk khususnya kepada sektor pembinaan.

Katanya kerajaan mengambil berat mengenai aduan ini kerana kenaikan harga simen akan memberi kesan sampingan dan rantaian serta menjejaskan sektor pembinaan melibatkan perumahan, jalan raya, kilang dan sebagainya.

"Saya sedang mengumpul maklumat daripada aduan yang diterima daripada pemain industri dan akan berbincang dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna minggu depan," katanya kepada pemberita di sini, pada Ahad.

Beliau mengulas aduan mengenai kenaikan harga simen oleh syarikat pemaju hartanah antara 40 dan 50 peratus seperti disahkan melalui surat daripada pembekal bermula semalam dan 1 Julai ini.

Terdahulu, Lim mengadakan perjumpaan dengan Penasihat Persatuan Pembina dan Pembekal Bahan Binaan Pulau Pinang Datuk Lim Kai Seng, Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Datuk Toh Chin Leong dan Pengerusi Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia cawangan Pulau Pinang, Datuk Ooi Eng Hock untuk membincangkan mengenai kenaikan harga simen.

Beliau turut mempersoalkan sama ada wujud impak daripada kuasa monopoli syarikat pembekal simen yang telah menyebabkan harga simen melonjak begitu ketara.

"Sekiranya ini untuk membolehkan syarikat untung besar dan memudaratkan industri serta ekonomi, ini satu perkara yang dipandang berat dan kerajaan mengambil serius mengenainya," katanya.

Sementara itu, Toh berkata impak daripada kenaikan harga simen itu akan menyebabkan pemaju tiada pilihan daripada menaikkan harga rumah pada masa akan datang.

Katanya baru-baru ini, pihak pembekal simen telah memaklumkan kepada pelanggannya bahawa kenaikan harga simen akan berkuat kuasa pada 15 Jun dan 1 Julai ini.

"Saya tidak faham kenapa harga simen perlu dinaikkan begitu ketara dan ini akan menjejaskan harga rumah kerana sektor pembinaan banyak menggunakan simen untuk membina rumah dan infrastruktur lain," katanya.