DAP mengalu-alukan orang Melayu dan Islam menyertai parti itu untuk menyelamatkan Malaysia daripada menjadi sebuah negara yang gagal kerana rasuah, ketidakadilan dan salah tadbir, kata pemimpin kanannya, Lim Kit Siang.

Beliau juga mahu DAP menggandakan usaha untuk menggalakkan orang Melayu dan Islam yang sealiran pemikiran dan cita-cita untuk menyertai parti itu "demi Malaysia yang bersatu, harmoni, inklusif, progresif, adil dan makmur".

Dalam satu ucapan kepada pemimpin DAP Perak di Ipoh pada Isnin malam, Kit Siang mengingatkan DAP supaya mengambil iktibar daripada insiden kekacauan Plaza Low Yat untuk terus jadi sebuah parti yang inklusif serta memperjuangkan kepentingan rakyat berbilang kaum dan agama.

"Bagi DAP, ini satu peringatan bahawa DAP mesti menggandakan tenaga dan usaha untuk memastikan lebih ramai orang Melayu dan Islam menyertai kita," katanya dalam teks ucapan itu yang diedarkan kepada media hari ini.

Kit Siang menambah penyertaan lebih ramai orang Melayu dan Islam dalam DAP akan menjadikan parti itu lebih berkesan untuk bersama-sama parti politik dan gerakan politik lain menyelamatkan Malaysia.

Dalam ucapannya, Kit Siang mengimbau sejarah penubuhan parti lima dekad lalu dan mengingatkan bahawa "DAP bukan parti politik orang bukan Melayu atau bukan Islam".

DAP, katanya, tidak terperangkap di kawasan atau dengan kegiatan khusus untuk orang bukan Melayu dan bukan Islam.

"DAP sejak awal penubuhannya lebih lima dekad lalu sejak 1966 berpegang kepada Impian Malaysia memperjuangkan keadilan kebebasan dan maruah manusia untuk semua warga Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan daerah," katanya.

Kit Siang kemudian menyenaraikan wakil-wakil rakyat yang pernah mewakili DAP di Dewan Undangan Negeri Perak antara pilihan raya umum 16 hingga 1990.

Beliau juga mengingatkan bagaimana DAP menurunkan 11 calon Melayu daripada 33 kerusi DUN yang ditandingi di Perak pada 1974 dan 25 calon Melayu daripada 38 kerusi yang ditandingi pada 1978.

Bagaimanapun, DAP Perak dalam beberapa pilihan raya yang lalu telah membuat "kesilapan politik yang serius" apabila menyimpang daripada matlamat pelbagai kaumnya.

"DAP mesti selalu setia kepada objektif penubuhannya untuk jadi sebuah parti warga Malaysia dan bukan parti orang Cina, India atau Melayu, dan kita mesti selalu memastikan pintu kita terbuka kepada warga Malaysia yang sealiran pemikiran tanpa mengira kaum dan agama," katanya.

Sejak selepas pilihan raya umum ke-13, DAP giat menggerakkan kempen mendaftarkan anak-anak muda Melayu dan menganjurkan pelbagai aktiviti kemasyarakatan di kawasan orang Melayu.

Antaranya, menggerakkan kempen Impian Kelantan bagi membantu mangsa banjir di Kelantan serta menziarahi pelajar Malaysia di Jordan dan Mesir.

Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said baru-baru ini menyertai parti itu dalam satu majlis yang diadakan di Gua Musang, Kelantan.

Ditanya mengenai pilihannya itu, Samad mengatakan DAP sebuah parti yang lebih mewakili rakyat Malaysia dan mereka yang melihat parti itu sebagai sebuah parti Cina adalah mereka yang berfikiran sempit.