Sambutan Hari Raya pertama bagi lima sekeluarga berakhir tragedi apabila rumah mereka hangus dalam kebakaran di Kampung Baru malam tadi.

Kejadian berlaku di Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru, Kuala Lumpur kira kira jam 7 malam tadi.

Lima buah rumah hangus dalam masa setengah jam berikutan bahan binaan berasaskan separa kayu dan kedudukan antara premis sangat dekat.

Kejadian malang itu turut merosakkan sebuah kereta, sebuah van dan enam buah motosikal.

“Kami semua sekeluarga sedang bergilir-gilir mengambil air wuduk untuk solat maghrib tiba-tiba api marak dengan begitu pantas,” jelas salah seorang mangsa, Mohd Yusuf Ali.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Wilayah Persekutuan, Nordin Fauzi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.41 malam.

Sepasukan bomba bersama 40 anggota dan pegawai serta beberapa jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Titiwangsa, Hang Tuah, Jalan Tun Razak dan Keramat dikejarkan ke lokasi.

Sebaik tiba, api sedang marak membakar lima buah rumah setinggan, sebuah kereta, sebuah van dan enam motosikal.

“Rumah di sini dibina begitu rapat dan potensi untuk api merebak dengan pantas adalah sangat tinggi. Namun kami berjaya mengawal kebakaran daripada merebak kepada kawasan yang lebih luas dan hanya membabitkan lima buah rumah sahaja,” jelasnya.

Tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.