Tutup

Lima fokus bantu pencapaian membanggakan KPM bagi 2019 - Maszlee

Lima fokus bantu pencapaian membanggakan KPM bagi 2019 - Maszlee
Maszlee (tengah) meneliti buku pencapaian Kementerian Pendidikan 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini. -fotoBERNAMA (2019)
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menutup tirai 2019 dengan perubahan besar yang dilaksanakan menerusi lima fokus utama, dengan 53 inisiatif pembaharuan dalam sistem pendidikan.

Menurut Menteri Pendidikan, Maszlee Malik, dengan tema Pendidikan Untuk Semua, lima fokus terbabit ialah mengembalikan kecintaan dalam pendidikan, kualiti pengajaran dan pembelajaran, autonomi dan akauntabiliti, Malaysia membaca serta manifesto.
Daripada lima fokus tersebut, enam aspek dilihat menjadi teras utama pencapaian KPM tahun ini.

Mendahului senarai adalah jumlah murid cicir yang berjaya kembali ke sekolah.
"Seramai 4,369 murid cicir kembali ke sekolah. Bayangkan jika tiadanya usaha ini, begitu ramai murid yang terlepas kemudahan pendidikan.

"Daripada apa yang sudah diusahakan tahun ini, kita akan belajar dan perbaiki seterusnya menambah bilangan pelajar tercicir kembali ke sekolah pada tahun-tahun akan datang," kata Maszlee.

Tahun 2019 menyaksikan pertambahan 4,821 murid berkeperluan khas berbanding 2018, menjadikan jumlah keseluruhan seramai 88,419 murid.

"Kita telah berjaya mempunyai 10,200 kelas pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU) di seluruh negara. Ia satu peningkatan sebanyak 526 buah kelas, purata dua buah kelas dibuka sehari sepanjang tahun," ujar Maszlee.

Turut menjadi teras adalah bantuan kepada pelajar dari golongan B40, antaranya 60 peratus kuota diberi untuk kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh serta laluan khas ke Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Institut Latihan Khas Awam.

Sejumlah 51,191 pelajar mendapat laluan khas ke IPTA dan ILKA dari keluarga B40.

Golongan guru juga tidak dilupakan, dengan fokus diberi kepada mengurangkan beban guru.

"Kita berjaya mengurangkan 50 peratus beban guru. Linus dihapuskan, borang kesihatan dan kantin dipulangkan kepada Guru Penolong Kanan.

"Kita memantau pelaksanaannya di peringkat bawah kerana jika pimpinan sekolah tidak melaksanakan seperti arahan yang dikeluarkan, maka guru-guru tidak merasakan yang beban mereka diringankan," ujar beliau lagi.

Turut mencatatkan perkembangan positif ialah menaik taraf sekolah daif, apabila 90 peratus projek sekolah daif berjaya disiapkan.

Jumlah itu merangkumi 452 daripada 534 buah sekolah daif telah dibaik pulih dan selamat untuk mula beroperasi. Bakinya disasarkan untuk diselesaikan awal tahun hadapan.

Hasrat kerajaan dalam menjadi Program Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pilihan utama anak muda dilihat tidak mustahil menjadi kenyataan apabila kebolehpasaran para pelajar berada di tahap memberansangkan.

"TVET mencatat tahap kebolehpasaran sebanyak 96.5 peratus.

"Ini bermakna seramai 54,789 daripada 61,510 graduan diterima memasuki sektor pekerjaan selepas tamat belajar," tambah beliau.

Maszlee berkata demikian pada sidang media khas pembentangan pencapaian KPM bagi 2019 di ibu negara, pada Jumaat.

Beliau turut meluahkan rasa penghargaan kepada pihak pengurusan dan pegawai KPM serta seluruh tenaga pendidik yang memungkinkan kejayaan KPM tahun ini.


Tag: Kementerian Pendidikan Malaysia, KPM, Maszlee Malik, sekolah, pelajar, kerajaan, pendidikan, guru, OKU, TVET, vokasional



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.