Jiran tetangga hanya mampu terkedu selepas api marak yang menghanguskan sebuah kediaman di kawasan mereka di Kampung Menara Pamilan, di sini, turut mengorbankan lima sekeluarga termasuk ibu dan empat anaknya.

Menurut salah seorang saksi, Zulkarnain Ngatman, 35, api yang terlalu besar menyebabkan mereka gagal untuk membantu menyelamatkan kesemua mangsa yang terperangkap dalam kebakaran berkenaan.

Beliau yang juga jiran kepada mangsa terlibat berkata, ketika kejadian salah seorang mangsa terselamat, Sudirman Hajar, 40, dilihat keluar daripada rumah tersebut dengan keadaan separuh badannya terbakar.

"Masa kejadian itu saya masih di rumah, saya masih tidur kan, ada saya dengar suara minta tolong dan kami keluar pergi tengok.

"Sampai sini pun api tidak dapat dikawal. Saya cuma nampak Sudirman sahaja, dia punya keadaan agak teruk jadi saya hantar pergi hospital terus.

"Memang dia ada cakap juga lah, dia bilang (kata) anak bini dia di dalam, tapi macam mana kami mahu bantu lagi kan (kerana api begitu marak)," katanya.

Menurut Zulkarnain, Sudirman ketika kejadian turut cuba memasuki semula ke kediaman mereka untuk menyelamatkan isteri dan anaknya namun gagal berikutan keadaan api begitu marak.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 12.40 tengah malam tadi itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Khatijah Omar, 32 serta tiga anaknya, Mohd Sakiran Sudirman, 11, Zahid Sudirman, 9, dan Sapura Sudirman berusia tiga tahun.

Seorang lagi mangsa yang turut ditemui rentung dikenali sebagai Adira Suhaili, 12, iaitu anak saudara kepada Khatijah.

Sudirman turut mengalami lecur hampir tiga peratus di bahagian anggota badan dan kini dirawat di Hospital Daerah Tenom.

Sementara itu, ibu saudara mangsa, Hamisah Lapulo, 39, berkata, pihak keluarga amat bersedih menerima musibah yang menimpa nasib Khatijah sekeluarga.

Tambahnya, mangsa sekeluarga akan dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Pamilan, Tenom, dalam tempoh terdekat ini.

"Bila kami ke sini, kami tengok rumah memang tidak ada api, orang pun ramai dan kami pun tidak boleh buat apa lagi

" Insyallah kalau tidak halangan, hari ini juga dikubur di Tanah Perkuburan Islam Pamilaan,"katanya.

Hamisah yang gagal menahan sebak itu turut menambah, Allahyarham Khatijah dan suaminya merancang untuk ke Pekan Tenom pada hari ini untuk membeli kelengkapan sekolah anak-anak mereka.

Namun hasrat itu tidak kesampaian dan berakhir dengan tragedi kebakaran berkenaan.