Lima pemuda maut apabila kereta Proton Wira Aeroback dinaiki mereka terbabas dan melanggar sebuah bas awam di KM 1.7 Jalan Skudai-Pantai Lido berhampiran Istana Besar Johor, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Shahurinain Jais berkata kejadian kira-kira 5.30 pagi itu menyebabkan pemandu kereta terbabit, yang berumur 18 tahun dan berasal dari Taman Setia Indah, di sini, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini.

Kesemua empat penumpangnya pula iaitu Liew Hong Jun, Danny Law Yen Pin dan Ng Qi En kesemuanya berumur 18 tahun serta Kenny Law Chin Shyuan, 16, meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Kemalangan di jalan dua hala itu berlaku dalam keadaan cuaca baik, namun, permukaan jalan itu basah dan licin selepas hujan pada awal pagi tadi.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Wira Aeroback dari arah pusat bandar menghala ke Skudai itu terbabas melanggar tembok pembahagi jalan sebelah kanan dan masuk ke laluan bertentangan lalu melanggar bas SKS Causeway Link dari arah Skudai menghala ke pusat bandar," katanya menerusi kenyataan hari ini.

BACA: Empat maut dalam kemalangan kereta dan bas

Shahurinain berkata kejadian turut menyebabkan kereta berkenaan berpusing dan terlanggar pagar Istana Besar Johor.

Beliau berkata pemandu bas, seorang lelaki berumur 60 tahun, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya mayat kesemua mangsa dibedah siasat di HSA, tengah hari ini.

Kes berkenaan sedang disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.

-- BERNAMA