Syarikat dan agensi kerajaan negara-negara Islam hari ini memeterai lima Memorandum Persefahaman (MoU) pada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di sini.

Perjanjian tersebut melibatkan program pertukaran belia, keselamatam makanan, pusat kecemerlangan, kerjasama media serta bidang berkaitan keselamatan dan pertahanan.

Ini termasuk program 'Work4Malaysia', sebuah inisiatif oleh firma perunding Turki, Mental HR Consultancy, yang menyediakan peluang kepada bakat-bakat Malaysia untuk mengikuti latihan dan kerjaya di pelbagai sektor di negara itu.

Firma berasaskan pertanian, Baladna dari Qatar akan bekerjasama dengan Felda Bhd dalam usahasama projek tenusu secara besar-besar.

Tiga pihak telah menandatangani perjanjian untuk menubuhkan pusat kecemerlangan khusus untuk penyelidikan dalam meneroka bidang saintifik dan tekonologi tinggi iaitu Kumpulan Industri-Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT), Lembaga Ilmu Pengetahuan Indonesia (LIPI), International Center for Chemical dann Biological Studies dari Pakistan dan Majlis Penyelidikan Saintifik Turki.

Bagi sektor keselamatan dan pertahanan, perjanjian melibatkan Composites Technology Research Malaysia Sdn Bhd (CTRM) dengan syarikat Turkish Aerospace Industries (TAI), Turki bagi membuka jalan untuk pembangunan masa depan dalam bidang penyelidikan dan teknologi baharu serta modal insan.

Organisasi media Malaysia dan Turki juga bersetuju menubuhkan sebuah pusat komunikasi bagi memerangi Islamofobia.

Pertukaran dokumen perjanjian itu disaksikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden Iran, Hassan Rouhani dan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan.

-- BERNAMA