Lima penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang dan seorang bekas anggota Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas 63 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM73,600 daripada seorang pengarah syarikat pengangkutan bagi melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya di negeri ini.

Kesemua mereka turut berdepan 63 pertuduhan pilihan iaitu memperoleh untuk mereka suatu benda berharga tanpa balasan daripada pengarah syarikat sama bagi tujuan dan tindakan sama untuk melindungi pemandu lori berkenaan.

Lima penguat kuasa JPJ gred 19 hingga 29 itu ialah Pemeriksa Kereta Motor, Ahmad Tajuddin Husin, 35; Pembantu Penguat Kuasa, Najib Mohamad Tarmizi, 32; Pembantu Penguat Kuasa, Ahmad Daniel Magendran Abdullah, 41; Pembantu Penguat Kuasa, Hasrol Sani Abu Bakar, 39; dan Pemeriksa Kereta Motor, Muhammad Airil Teo Abdullah, 31 tahun.

Turut didakwa ialah bekas Ketua Pembantu Penguat Kuasa SPAD, Ahmad Alamin Don, 33 tahun.

Pada prosiding hari ini, Ahmad Tajuddin berdepan dua pertuduhan utama dan pilihan melibatkan rasuah bernilai RM800; Najib didakwa atas empat pertuduhan utama dan pilihan membabitkan RM4,000; Ahmad Daniel dituduh atas 36 pertuduhan utama dan pilihan melibatkan RM51,050 dan Hasrol Sani berdepan lima pertuduhan utama dan pilihan rasuah bernilai RM9,100.

Sementara itu, Muhammad Airil Teo didakwa atas 12 pertuduhan utama dan pilihan dengan nilai rasuah sebanyak RM6,900 manakala Ahmad Alamin berdepan empat pertuduhan utama dan pilihan membabitkan rasuah bernilai RM1,750.

Kesemua individu tersebut mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan utama dan pertuduhan pilihan yang dihadapi mereka ketika pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Nizam Zakaria yang mengambil masa hampir dua jam.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di beberapa buah bank di Bukit Mertajam di sini antara Mac 2015 dan Jun 2018.

Kesemua pertuduhan utama itu dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, dan jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pilihan, kesemua tertuduh didakwa memperoleh untuk diri mereka suatu benda berharga tanpa balasan berupa wang tunai daripada Ong bagi tujuan yang melibatkan penguatkuasaan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 terhadap lori-lori milik syarikat Ong.

Untuk pertuduhan itu, jika disabitkan kesalahan mereka boleh dihukum mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya S. Selvaranjini menawarkan jaminan masing-masing antara RM10,000 dan RM35,000 dengan seorang dan dua penjamin bagi kesemua pertuduhan yang dihadapi tertuduh berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah kemudiannya membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin masing-masing antara RM5,000 dan RM25,000 dengan seorang dan dua penjamin serta memerintahkan pasport kesemua tertuduh diserahkan kepada mahkamah selain menetapkan 12 Sept ini untuk sebutan semula kes.

Peguam Datuk Naran Singh mewakili kesemua penguat kuasa JPJ itu manakala Ahmad Alamin tidak diwakili peguam.

Dalam pada itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki dan Pengarah SPRM negeri Datuk Wan Ramli Wan Abdullah turut hadir mendengar prosiding itu.

Pada 28 Mei lepas, lapan penguat kuasa JPJ dan seorang bekas anggota SPAD dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan sama.

Pendakwaan itu susulan penahanan lebih 70 pegawai dan anggota JPJ Pulau Pinang pada Januari lepas selepas disyaki terlibat dengan kegiatan rasuah melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya di negeri ini.

-- BERNAMA