Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menggesa kerajaan supaya memasukkan perlindungan untuk pencari kerja daripada diskriminasi, menerusi pindaan Akta Kerja 1955.

Suhakam dalam satu kenyataan berkata cadangan terbaharu yang dikemukakan Kementerian Sumber Manusia telah memasukkan pindaan bagi melindungi pencari kerja dan pekerja, daripada diskriminasi berasaskan jantina, agama, bangsa, ketakupayaan, status perkahwinan, kehamilan dan bahasa.

Namun, badan tersebut berkata, terdapat pendedahan bahawa frasa 'pencari kerja' serta Bahagian IA bagi draf pindaan Rang Undang-undang (RUU) baharu yang mempunyai perlindungan terhadap pencari kerja, akan dimansuhkan.

"Cadangan pemansuhan ini mengecewakan kami, kerana tindakan ini akan membenarkan diskriminasi untuk terus berlaku. Kami percaya bahawa undang-undang sedia ada seharusnya dipinda bagi memberikan perlindungan terhadap pencari kerja, selaras dengan larangan diskriminasi yang termaktub di dalam Perkara 8(2) Perlembagaaan Persekutuan," katanya di sini, pada Isnin.

Menurut kenyataan itu lagi, Konvensyen mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) dan Konvensyen Hak Orang Kurang Upaya (CRPD) yang telah diratifikasi oleh Malaysia, telah menerangkan dengan jelas berkenaan perlindungan terhadap diskriminasi untuk mendapatkan peluang pekeriaan yang sama rata.

Justeru, Suhakam menyeru kerajaan supaya melindungi pencari kerja dan pekerja daripada diskriminasi di tempat kerja, serta memastikan senarai diskriminasi yang dilarang, dikekalkan dalam undang-undang dan tidak meletakkannya dalam peraturan.

Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran pada bulan lepas berkata Akta Kerja 1955 sedang disemak semula untuk dipinda dan ditambah dengan peruntukan-peruntukan baharu yang diharapkan boleh menangani isu-isu semasa di tempat kerja.

Beliau berkata antara isu semasa itu adalah berkaitan diskriminasi di tempat kerja, cuti paterniti, tempoh waktu bekerja dan beberapa lagi perkara lain dan diharap dapat dikemukakan pada sesi persidangan Parlimen, Oktober ini.

-- BERNAMA