Tutup

Lindungi pengundi, manifesto pilihan raya perlu diikat dengan undang-undang

Lindungi pengundi, manifesto pilihan raya perlu diikat dengan undang-undang
Penulis berpendapat, kita perlu melakukan proses penambahbaikan bagi melindungi rakyat, khususnya pengundi, daripada menjadi mangsa pihak yang tidak bertanggungjawab sewaktu tibanya musim pilihan raya. - Gambar hiasan
SUDAH sampai masanya kita mengambil satu langkah baru bagi memastikan setiap janji manis politik atau janji–janji manifesto yang dibuat ketika hadapi proses pilihan raya dalam negara kita dipandang serius oleh mereka yang membuatnya dan dipenuhi tanpa adanya sebarang alasan. Mana–mana ahli atau parti politik yang membuat janji–janji manis khususnya melalui manifesto pilihan raya perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap semua janji yang telah dibuat oleh mereka didalam manifesto pilihan raya. Amat menyedihkan sekiranya sebarang janji yang telah dibuat didalam manifesto pilihan raya tidak dipenuhi dan ditepati oleh mana–mana ahli atau parti politik setelah mereka memenangi proses pilihan raya dan memegang kuasa untuk memerintah.

Tindakan untuk tidak memenuhi atau menepati janji yang telah dibuat didalam manifesto pilihan raya juga menunjukkan dengan jelas sikap tidak hormat mereka terhadap para pengundi yang telah memberi kepercayaan dan memberi undi kepada ahli dan parti politik yang telah membuat pelbagai jenis janji dalam manifesto pilihan raya mereka. Manifesto pilihan raya adalah sebuah dokumen bertulis yang mengandungi janji yang bakal dipenuhi sekiranya ahli atau parti politik yang membuat manifesto terbabit menang dalam proses pilihan raya. Manifesto plihanraya selalunya dibuat setiap kali adanya tibanya musim pilihan raya sama ada pilihan raya umum atau mahupun pilihan raya kecil. Manifesto pilihan raya ini selalunya dibuat secara ringkas bagi memudahkan setiap rakyat untuk membacanya, memahaminya serta memberi pertimbangan yang sewajarnya ketika memberi undi mereka kelak.
Manifesto pilihan raya ini bukan sahaja wujud dalam negara kita, malah turut digunapakai hampir disemua negara yang mengamalkan prinsip demokrasi. Dengan adanya manifesto pilihan raya ini, rakyat secara keseluruhannya akan mudah untuk memahami segala rancangan yang bakal dilakukan sekiranya ahli atau parti politik yang membuat manifesto ini sekiranya mereka menang proses pilihan raya. Selalunya terdapat pelbagai jenis janji yang terdapat dalam manifesto pilihan raya ini. Kesemua janji ini ini selalunya dilihat sebagai “janji – janji manis” sewaktu pilihan raya yang digunakan untuk memenangi hati rakyat terutamanya hati para pengundi.

Antara janji–janji manis yang sering dilemparkan adalah yang berkaitan dengan janji untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat, janji untuk memberi pelbagai jenis bantuan sosial, janji untuk memberi kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik, internet, klinik, hospital, sekolah, pendidikan dan pengangkutan dan macam–macam jenis janji lagi. Pegundi selalunya akan memberi undi mereka kepada mana-mana ahli atau parti politik yang menawarkan janji yang baik melalui manisfesto yang ditawarkan kepada mereka. Namun amat malang untuk diketahui, status sesebuah manifesto hanya lah sekadar janji manis yang tidak terikat dengan undang–undang. Ini bermakna, ahli atau parti politik yang membuat manisfesto ini tidak perlu menunaikan janji yang telah dibuat setelah mereka menang pilihan raya dan mendapat kuasa untuk memerintah negara.
Jika kita masih ingat pada tahun 2013 yang lalu, pihak Mahkamah Rayuan telah memutuskan bahawa sebuah manifesto pilihan raya tidak boleh dikuatkuasakan secara sah. Berikutan keputusan penting itu, pihak mahkamah membatalkan saman sivil yang difailkan oleh 2,020 ibu tunggal di Selangor berhubung pembayaran elaun RM100 kepada mereka seperti terkandung dalam manifesto pembangkang pada pilihan raya umum 2008. Panel tiga hakim diketuai Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus yang bersidang bersama Datuk Abdul Aziz Abd Rahim dan Datuk Mohamad Ariff Md Yusof membenarkan rayuan kerajaan Selangor dan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim ketika itu supaya mengetepikan keengganan Mahkamah Tinggi untuk membatalkan saman tersebut. Di dalam kes terbabit, hakim bersetuju dengan hujahan bahawa manifesto itu bukan sebuah dokumen yang terikat di sisi undang-undang. Seseorang yang tidak berpuas hati dengan kegagalan memenuhi janji pilihan raya tidak boleh menuntut untuk menguatkuasakan manifesto tersebut.

Dengan mengambil kira keadaan semasa kini, kita perlu melakukan proses penambahbaikan bagi melindungi rakyat kita khususnya para pengundi daripada menjadi mangsa pihak yang tidak bertanggungjawab sewaktu tibanya musim pilihan raya. Pihak mahkamah diminta melihat semula status undang–undang yang diberikan terhadap manisfesto yang dibuat oleh mana–mana ahli atau parti politik. Setiap manifesto yang dibuat oleh mana–mana ahli atau parti politik perlu diikat dengan undang–undang supaya tindakkan undang–undang boleh diambil terhadap mana–mana ahli atau parti politik yang tidak memenuhi atau melangari janji–janji manifesto pilihan raya mereka.

Pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga disarankan mengambil langkah yang proaktif dalam mengatasi isu ini. Pihak SPR perlu mewujudkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji isu manifesto pilihan raya ini untuk diberikan satu kuasa undang – undang terhadapnya. Pindaan boleh dilakukan melalui sebarang akta sedia ada seperti Akta Kesalahan Piliharaya 1954 [Akta 5] bagi menyelesaikan perkara ini demi melindungi hak dan kepentingan pengundi dalam negara kita.


* Dr Muzaffar Syah Mallow, Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

** Pandangan yang diutarakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak berkaitan dengan Astro AWANI.