Sasaran untuk memastikan kawasan yang diliputi jalur lebar mencapai 95 peratus menjelang tahun 2020, bakal menjadi kenyataan sejajar dengan kerjasama kerajaan bersama pemain-pemain industri telekomunikasi yang giat melaksanakan pelbagai inisiatif berasaskan pembangunan infrastruktur telekomunikasi, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau menyatakan, ke arah mencapai sasaran itu, teknologi satelit telah digunakan dalan penyediaan perkhidmatan jalur lebar dengan 'Very Small Aperture Terminal (VSAT) di kawasan-kawasan terpencil seperti di pedalaman Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

Bagi memperluas capaian internet berkelajuan tinggi, Salleh berkata, sebanyak 423 ibu sawat telah dinaik taraf di seluruh negara di bawah projek Jalur Lebar Luar Bandar yang menyediakan perkhidmatan jalur lebar tetap dengan kelajuan sehingga 20 mega bit sesaat.

"Di bawah inisiatif peluasan liputan jalur lebar mudah alih pula, sebanyak 1,686 menara komunikasi baharu telah siap dibina dan beroperasi dengan liputan 3G dan 4G selain 4,061 menara sedia ada juga telah dinaik taraf dengan liputan yang sama di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Negaraku: Menghubung Menyatu (CTU) Peringat Negeri Sabah, di Sekolah Kebangsaan Tamu Darat, hari ini.

Salleh menyatakan, kerajaan di bawah kementeriannya berusaha merapatkan jurang digital antara bandar dan luar bandar menerusi penganjuran pelbagai program yang menekankan kepentingan digital.

Beliau menyatakan, usaha itu adalah bagi membantu rakyat mengaplikasikan digital dalam aktiviti harian terutama para usahawan bagi meningkatkan pendapatan.

"Itulah sebabnya kita adakan program seperti ini iaitu Menghubung dan Menyatu, kita menentukan agar kita berusaha bersungguh-sungguh untuk mengurangkan jurang digital di antara bandar, luar bandar dan juga pedalaman," katanya.