Lisa Surihani, UNICEF ganding bahu lawat Kem Pelarian Rohingya Cox's Bazar

Lisa Surihani, UNICEF ganding bahu lawat Kem Pelarian Rohingya Cox's Bazar
LISA: Kita perlu memahami bahawa isu-isu kanak-kanak bukan sekadar isu kanak-kanak, ia juga memberi kesan kepada masyarakat, ekonomi dan negara. - Astro AWANI/ISABELLE LEONG
KUALA LUMPUR: Selain memegang gelaran anak seni selama lebih sedekad, nama Lisa Surihani sudah cukup sebati dengan gelaran duta Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) sejak 2017.

Pelakon ‘Istanbul Aku Datang!” sekali lagi melanjutkan pelantikannya sebagai duta Malaysia untuk UNICEF buat dua tahun yang akan datang dan berjanji untuk terus menyokong pembelaan hak kanak-kanak di seluruh negara sejajar dengan pelantikannya itu.

“Kanak-kanak sering diabaikan. Mereka tidak boleh mengundi, tidak mempunyai suara serta isu mengenai kanak-kanak sering tidak dititikberatkan dan dianggap remeh-temeh.
“Saya amat berbesar hati kerana diberikan peluang untuk membawa suara mereka, bukan sahaja bercakap untuk pihak mereka, tetapi juga memberikan perhatian yang sewajarnya kepada apa yang mereka ingin suarakan.



“Kita perlu memahami bahawa isu-isu kanak-kanak bukan sekadar ‘isu kanak-kanak’, ia juga memberi kesan kepada masyarakat, ekonomi dan negara,” kata Lisa pada jamuan media hasil anjuran UNICEF Malaysia pada Rabu bagi menyambut ulang tahun Konvensyen Hak Kanak-kanak (CRC) 1989 yang ke-30 iaitu perjanjian global yang disertai Malaysia.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan antara pemimpin yang menandatangani undang-undang antarabangsa ini pada 1991.



Menurut Lisa, dia bukan sahaja ingin terus meluaskan bakti membantu golongan tersebut, malah telah menyatakan komitmennya untuk membuat lawatan ke Kem Pelarian Rohingya di Cox’s Bazar, Bangladesh pada April ini bagi menyokong pembelaan hak kanak-kanak yang tiada kerakyatan (stateless).

“Lawatan ini adalah satu pembelajaran untuk saya. Saya bersedia untuk melihat kesengsaraan pengalaman kanak-kanak sebagai pelarian dengan mata saya sendiri.

“Saya akan lihat dan dengar perkara yang mungkin tidak menyenangkan, perkara yang tiada orang ingin baca, dengar atau buat laporan. Akan tetapi, dunia perlu tahu apa yang mereka lalui.

“Seorang kanak-kanak tetap seorang kanak-kanak walaupun mereka pelarian. Dan terutamanya mereka yang ‘voiceless’ seperti mereka yang tiada kerakyatan, pelarian, dipinggirkan. Kita perlu bersuara dengan lebih kuat lagi,” tegasnya.

Tag: Lisa Surihani, UNICEF, Cox's Bazar, Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Istanbul Aku Datang, duta Malaysia untuk UNICEF, Konvensyen Hak Kanak-kanak, Dr Mahathir Mohamad


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.