Little India di sini, satu daripada produk pelancongan di Perak yang dilihat begitu baik dalam menjana ekonomi negeri kerana ia menjadi tarikan utama para pengunjung dari dalam dan luar negara.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata lokasi itu menjadi tumpuan terutama masyarakat India seluruh negara kerana pelbagai barangan terutama pakaian dan aksesori boleh didapati dengan harga yang murah dan berpatutan.

"Penjualan koleksi pakaian dan perhiasan yang unik menjadikan lokasi tersebut sebagai tumpuan para pengunjung khususnya masyarakat India," katanya.

Beiau berucap dalam Majlis Penutupan Malam Kebudayaan Deepavali Sempena Karnival Deepavali di Little India di sini, malam tadi, yang dihadiri lebih 1,000 pengunjung pelbagai lapisan masyarakat dari seluruh Perak.

Selain itu, Ahmad Faizal berkata pihaknya komited untuk terus merancakkan lagi industri pelancongan selaras dengan hasrat kerajaan negeri menjadikan Perak antara negeri utama menjadi tumpuan pengunjung di Malaysia.

"Untuk merealisasikannya, rakyat perlu membantu. Kita yakin kalau rakyat negeri ini menunjukkan sikap yang berhemah, sentiasa senyum dan baik dengan orang, pasti orang dari luar akan suka datang ke tempat kita," katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai majlis itu, Ahmad Faizal berkata ia antara platform mengeratkan lagi hubungan dan meraikan kepelbagaian perayaan antara kaum di negeri ini.

"Meraikan kepelbagaian terutama daripada sudut perayaan perlu dipupuk dan dijaga dengan baik. Alhamdulillah, hari ini negara kita adalah sebuah negara yang disebut Malaysia Baharu selain membawa maksud kita menolak sebarang perkara negatif," katanya.

-- BERNAMA