Tutup

LKIM salur bantuan kepada nelayan mangsa taufan Lekima

LKIM salur bantuan kepada nelayan mangsa taufan Lekima
GAMBAR FAIL: Hujan lebat beserta angin kencang menyebabkan air laut bergelora ketika tinjauan di kawasan perkampungan nelayan Kuala Kedah. - BERNAMA
KANGAR: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Perlis menerusi Skim Bantuan Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan (SBBAKN) menyalurkan bantuan baik pulih rumah nelayan RM10, 000 kepada tiga nelayan di sini yang musnah tempat tinggal dan ada yang mengalami kerosakan teruk akibat ribut taufan Lekima pada 9 Ogos lepas.

Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, jumlah itu adalah kadar bantuan maksimum bagi rumah ranap, manakala RM1,000 kadar bantuan minimum bagi kerosakan harta benda dan lain-lain peralatan mengikut kadar nilaian kerosakan.

"Mereka yang layak menerima sumbangan dari skim ini adalah nelayan yang telah menjadi ahli Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) atau nelayan yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan Malaysia atau Jabatan Perikanan Perlis dan mempunyai Kad Pendaftaran Nelayan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat rumah nelayan mangsa ribut di Kampung Pulau Ketam iaitu Jasslie Shafie, 55, dan Mazirah Abu, 42, manakala seorang lagi Din Abdullah dari Kampung Seberang Alor di sini.
Dalam lawatan itu, beliau turut menyampaikan bantuan segera berupa barang keperluan dapur kepada ketiga-tiga mereka bagi meringankan beban mangsa dan juga keluarga.

Pada 9 Ogos, 19 rumah nelayan di Kuala Perlis terjejas akibat taufan Lekima.

Faiz berkata 19 rumah tersebut telah dibaiki berperingkat oleh pihak Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) dan pihaknya akan menyalurkan bantuan SBBAKN dalam tempoh terdekat ini.
Beliau juga menyarankan agar para nelayan berdaftar yang berkeperluan membuat permohonan untuk mendapatkan bantuan dan sumbangan dari skim ini menggunakan borang permohonan yang boleh didapati secara percuma di pejabat PNK yang berdekatan dan laman web rasmi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia di http://www.lkim.gov.my.

Sementara itu, Rosmaliyani Mustafa, 38, isteri kepada nelayan, Jasslie bersyukur dengan tindakan pantas semua pihak membantu beliau dan keluarganya yang mengalami kerosakan rumah yang agak teruk.

"Sebagai suri rumah, rumahlah 'syurga saya' dan saya banyak menghabiskan masa menguruskan lima anak sambil membuat jualan kuih untuk membantu suami. Apabila kediaman kami mengalami kerosakan akibat bencana, segala peralatan masak saya juga habis hilang dan rosak diterbangkan angin," katanya.

Beliau berkata terdapat kira-kira 90 rumah di perkampungan itu dan rumahnya antara yang terjejas teruk.

-- BERNAMA

Tag: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, SBBAKN, Skim Bantuan Bencana Alam, baik pulih rumah nelayan, taufan Lekima, LKIM salur bantuan, Muhammad Faiz Fadzil


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.