Loji rawatan air Semenyih terpaksa ditutup sekali lagi pada pukul 4:15 petang tadi kerana benteng di Sungai Buah di Nilai, Negeri Sembilan pecah akibat hujan lebat di hulu sungai.

Benteng tersebut telah dibina sejak 24 Oktober lalu bagi menghalang air sungai tercemar daripada mengalir ke Sungai Semenyih dan melencongkannya ke kolam berhampiran menggunakan pam.

Menurut satu kenyataan dikeluarkan Kumpulan Air Selangor malam ini, ketika ini, segala usaha sedang dilaksanakan untuk membina semula benteng di Sungai Buah itu dengan serta-merta.

"Semua kawasan di daerah Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang dan Petaling sedang mengalami gangguan bekalan air sehingga loji rawatan air beroperasi semula," kata Ketua Komunikasi Korporatnya Amin Lin Abdullah.

Lokasi bekalan air bantuan.

Katanya, bantuan bekalan air akan terus dihantar ke kawasan yang terlibat dan premis kritikal, seperti hospital dan pusat dialisis, sehingga bekalan air pulih.

Sementara itu, Amin turut menjelaskan, jadual bekalan air sedia ada untuk Zon 1 dan 2 yang dikeluarkan sebelum ini tidak akan diguna pakai lagi.